Tag Archives: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tuan Guru Mursyidul ‘Am PAS kembali ke rahmatullah: Kenyataan Media PAS Sabah

10968351_783858838372443_5400339287013130002_n

PAS Sabah merakamkan rasa dukacita dan takziah kepada ahli Parlimen Pasir Mas YB Nik Abduh bin Nik Abdul Aziz, ahli keluarganya, seluruh rakyat Kelantan dan ahli PAS atas pemergian Musyidul Am PAS Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang kembali kepangkuan Allah SWT pada 12.2.2015.

Kehilangan dan pemergiannya pasti sukar dicari ganti. Jasanya kepada umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia Islam amnya akan dikenang selama-lamanya.

PAS Sabah berharap semua umat Islam di Sabah mendoakan keampunan dan keredhaan Allah kepada Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin.

PAS Sabah juga berharap agar semua pemimpin Islam di Sabah dapat mencontohi kezuhudan dan keperibadian Tuan Guru Nik Aziz yang tidak mementingkan harta dan pangkat semasa menjadi Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun. Beliau merupakan ikon politik dan diterima semua kaum tanpa mengira agama. Beliau juga telah menunjukkan sifat seorang muslim sejati dan integriti yang amat tinggi.

Terima kasih.

HAMID ISMAIL

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah

13 Februari 2015

Advertisements

Leave a comment

Filed under News, PAS, Press Statement

Peliharalah aib orang lain

Tazkirah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

imagesTAHASSUS (mengendap mencari rahsia dengan mata dan telinga) dan tajassus (mencungkil rahsia buruk seseorang), kedua-duanya ditegah oleh Islam.

Kecuali berlaku jenayah dalam negeri dan seseorang itu ditugaskan oleh pihak berwajib menyiasat bagi membasmi jenayah tersebut.

Pegawai khas yang ditugaskan untuk menyiasat jenayah itu mestilah melakukan tugasnya, berhak untuk bertanya sesiapa jua untuk mencari punca jenayah tersebut. Hingga jenayah dan penjenayah dapat dibasmi dalam negeri.

Bertugas menyiasat berbeza dengan orang yang mengintip dan mencari keburukan orang lain, tugas yang dipikulkan seorang pegawai penyiasat mengharuskan dia berbuat sesuatu yang melibatkan pengintipan rahsia (tajassus).

Jika tidak berbuat demikian maka jenayah tidak mungkin dapat dibasmi, rakyat sentiasa bimbang dengan meningkatnya kadar jenayah.

Ada perbezaan yang nyata antara mencungkil rahsia untuk memuaskan nafsu dengan petugas khas mencari punca rahsia untuk membasmi jenayah. Justeru pegawai berkenaan apabila menjalankan penyiasatan tidak boleh berat sebelah.

Ini kerana ia mendatangkan ketidakadilan, sedangkan tugasnya menghendaki yang didapati bersalah untuk dihukumkan salah, yang tidak bersalah segera dibebas. Jika berat sebelah dalam penyiasatan mungkin akan berlaku kezaliman. Orang yang bersikap seolah-olah tidak tahu keaiban orang secara personal, tidak menceritakan kepada pihak lain adalah tanda orang itu beragama.

Orang beragama itu bukan saja dia mempunyai banyak ilmu, tetapi berperangai murni kerana tidak mencerita dan mendedahkan keburukan orang.

Ketahuilah sesungguhnya tidak sempurna iman seserorang itu, selagi dia tidak sayang kepada kawannya apa jua perkara yang ia sayang untuk dirinya.

Inilah pedoman hidup di dunia supaya hubungan manusia jadi baik dan harmoni, iaitu lakukan sesuatu yang baik untuk orang seperti yang ia setuju dilakukan terhadap dirinya.

Umpamanya; marah apabila kawan lambat memulangkan barang yang dipinjamnya, begitulah sebaliknya segera pulangkan barang yang kita pinjam daripada orang lain, kerana mereka pun tidak setuju diperlakukan demikian.

Apa yang menyebabkan seseorang suka menceritakan keburukan orang lain, ialah disebabkan oleh penyakit hati yang telah lama tertimbus tanpa rawatan. Tubuh manusia ini terbahagi dua anasir, unsur pertama ialah jasad yang zahir (jasmani) yang dapat disentuh dan dilihat.

Unsur kedua ialah batin rohani (jiwa) yang seni, yang tidak dapat disentuh atau dipandang. Penyakitnya dua jenis juga, penyakit pada jasad yang zahir boleh dirawat oleh tabib dan doktor.

Tetapi penyakit rohani tidak mudah dirawat kecuali oleh pakar ilmu jiwa yang mukmin iaitu ulama ahli tasauf.

Penyakit yang menyebabkan manusia gemar bercerita dan dedah keaiban orang, iaitu “dendam” dan “dengki.” Ia sukar dilihat dan dirawat, kerana penyakit tersebut ibarat telah lama tertanam, di luarnya kelihatan elok tetapi di dalam amat buruk.

Orang yang jiwanya dihinggapi penyakit tersebut, menyebabkan mata dan telinga hatinya buta dan tuli daripada menghargai kebaikan orang.

Sebaliknya hanya memandang dan mendengar keburukan orang sahaja. Manusia yang berdendam sesama Muslim atas dorongan nafsu tanda kelemahan imannya, kedudukan dirinya amat bahaya jika tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT.

Hatinya keji dan kotor (khobais) tidak layak untuk berdepan dengan Allah SWT setelah rohnya diambil oleh malaikat maut.

Justeru iman yang lemah pada sudut apa pun hendaklah digagahkan, sama ada lemah iman dalam urusan sesama manusia apatah lagi terhadap Allah SWT.

Antara kaedah mengawal lidah ialah jangan dedah rahsia peribadi dan hendaklah senyap daripada memperkatakan rahsia yang diamanahkan kepada kita. Ini kerana ada kalanya manusia terpaksa menceritakan kekurangan diri untuk melapangkan dada, tetapi pihak yang menerima curahan bukan untuk diceritakan kepada pihak lain.

Selain daripada mengambil sikap menyepi terhadap rahsia orang, seseorang itu berhak menidakkan jika ada orang membawa cerita rahsia seseorang itu sekalipun betul. Meskipun bercakap benar itu wajib, tetapi tidak pada semua ketika dan semua keadaan mesti bercakap benar.

Menurut Al-Ghazali sayogia tidak bercakap benar jika sesuai dengan ketikanya, iaitu ketika hendak menyelamatkan maruah kawannya daripada tercemar.

Seseorang hendaklah tutup rahsia keaiban dirinya sekalipun terpaksa tidak bercakap benar, kerana dedah rahsia diri tidak baik di sisi agama.

Begitu juga jika tidak berusaha menutup rahsia maruah kawannya, kerana kawan adalah umpama diri sendiri yang wajib dipertahankan juga.

Seseorang dengan kawannya bagai satu anggota yang tiada beza kecuali tubuhnya sahaja, sebagaimana seseorang dianjur menutup keaiban diri, begitu juga berkewajipan menutup rahsia keaiban kawannya. Inilah hakikat persahabatan.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang sanggup menutup keaiban saudaranya, Allah SWT akan tutup keaiban (kecacatan) dirinya di dunia dan di akhirat.”

Lebih memalukan apabila keburukan terdedah di akhirat kelak, di hadapan Nabi Muhammad s.a.w. dan para rasul yang lain. Namun Allah SWT berjanji akan menutupnya jika di dunia ini dia berusaha menutup keburukan orang lain.

Leave a comment

Filed under General

Ramadhan, bulan membentuk generasi furqan

images

Perutusan Ramadhan 1434H oleh YB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Ramadhan: bulan membentuk generasi furqan

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud: 

“..Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan juga menjadi furqan (menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah)..” (Surah al-Baqarah : ayat 185).

Alhamdulillah, kita dipanjangkan nyawa oleh Allah SWT untuk terus bertemu dengan Ramadhan tahun 1434 Hijrah ini. Sesungguhnya nikmat kehidupan dan nyawa yang berpanjangan ini merupakan nikmat yang sangat besar yang diberikan oleh Allah SWT sebagai ujian kepada manusia. Hanya manusia yang beruntung sahaja yang akan menggunakan kesempatan yang diberikan ini untuk melakukan amal soleh agar ia menjadi bekal yang terbaik untuk di bawa ke hadapan Allah SWT.

Ramadhan ialah bulan yang penuh dengan kemuliaan. Ia bukan sekadar mengandungi ibadat puasa sahaja bahkan juga kelebihan-kelebihan yang tidak terdapat di dalam bulan-bulan yang lain. Justeru, seringkali saya mengulangi agar jangan disebut Ramadhan ini sebagai bulan puasa, kerana sebutan tersebut seolah-olah hanya mengiktiraf puasa sahaja sebagai intipati terpenting di dalam Ramadhan. Padahal di dalamnya terkandung juga kelebihan ibadat yang lain yang dilakukan oleh Rasulullah SAW seperti membaca al-Quran, tarawih, infaq dan sebagainya.

Antara yang utama di dalam bulan ini ialah peristiwa penurunan al-Quran. Ia dicatatkan oleh Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 185 dan dinyatakan bahawa tujuan penurunan kitab ini ialah untuk menjadi petunjuk kepada manusia, mengandungi keterangan dan juga sebagai furqan.

Furqan bermaksud pembeza di antara hak dan yang batil. Ia bermaksud al-Quran ialah satu garis lurus yang menjadi kayu ukur untuk mengira betul salahnya perbuatan manusia. Jika selari dengan kayu ukur ini, betullah ia dan begitu juga jika sebaliknya. Furqan tidak mungkin salah kerana jika kayu ukur itu sendiri belot dan bengkok, ia bukan lagi menjadi furqan.

Ramadhan sewajarnya membentuk generasi furqan iaitu generasi yang boleh membezakan di antara yang haq dan yang batil. Jika visi Ramadhan ini berjaya dilaksanakan, nescaya tidak akan ada di kalangan masyarakat umat Islam yang terpingga-pingga di tengah terang untuk mencari jalan yang benar.

Pada tahun ini, kita menyambut Ramadhan dalam suasana yang bercampur-campur. Di peringkat antarabangsa kita menyaksikan pergolakan di Mesir hasil daripada perancangan jahat Amerika dan sekutu-sekutunya. Pada saat saya menulis perutusan ini, sudah berpuluh-puluh rakyat Mesir yang terkorban di muncung senjata tentera di atas nama keamanan. Inilah dia demokrasi ala Barat yang hanya terlaksana jika kemenangan memihak kepada mereka. Adapun apabila mereka sendiri sudah lemas di dalam laut demokrasi, tangan mereka yang terkapai-kapai akan berusaha mencari pelampung penyelamat meskipun terpaksa menebuk perahu orang lain.

Sayangnya di Mesir yang bersemadi di buminya puluhan ambiya’, masih ada yang tidak tahu membezakan yang benar dan yang salah. Masih ada segelintir yang bersorak gembira apabila kerajaan pilihan rakyat digulingkan secara haram oleh waris diktator. Di sinilah keperluan wujudnya usaha membina generasi furqan. Kegagalan membina generasi furqan akan menatijahkan bermaharajalela kerajaan sekular. Namun, saya sangat optimis, kebangkitan rakyat di Mesir tidak sama sekali membiarkan era diktator berulang kembali di Lembah Nil ini.

Inilah juga yang berlaku di Syria, puluhan ribu yang terkorban di tangan tentera kerajaan zalim dan berterusan di bulan Ramadhan al-Mubarak ini menarik-narik tangan kita untuk terus menadah tangan ke langit memohon nusrah daripada Allah SWT. Sungguh, rintihan dan air mata yang jatuh kerana saudara seagama dianiaya pastinya akan dinilai oleh Allah SWT rabbul jalil.

Insya-allah, Ramadhan ini akan menyemarakkan usaha kita mendaulatkan al-Quran yang bersifat furqan di samping menghadam sifat ini di dalam sanubari masyarakat. Di mana-mana sahaja akan sentiasa berlaku pertembungan haq dan batil, dan di situlah akan timbulnya furqan untuk menjadi kayu ukur yang jelas dan nyata. Tidak hanya di Mesir dan Syria, bahkan juga di Malaysia atau lebih khusus di Kuala Besut nanti.

Bagi kita yang berada di dalam Parti Islam Semalaysia (PAS), kita teruskan dengan misi kita. Bergeraklah terus ke hadapan. Melangkahlah dengan penuh yakin di samping sentiasa mendamping diri dengan Allah SWT.

Di garisan yang terakhir, hanya perjuangan yang benar di sisi syariat dan ikhlas di benak hati sahaja yang mampu menggapai baton kemenangan!

Salam Ramadhan.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)

Leave a comment

Filed under General, Press Statement

Mesir: Detik hitam sedang berulang

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

04 Julai 2013

Saya melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap apa yang sedang berlaku di Mesir sekarang. Pada saya, inilah saat di mana detik hitam sedang berulang semula dalam sejarah Mesir.
Saya menyaksikan sidang media tentera yang mengumumkan rampasan kuasa dan diberitakan bahawa Sheikh Al-Azhar juga turut bersama-sama dengan tentera menyokong rampasan kuasa menggulingkan Dr Muhammad Mursi.

Ini tandanya tentera tidak yakin dengan kekuatan mereka sendiri lantas menjadikan ulama sebagai sandaran untuk meyakinkan rakyat. Di mana-mana sahaja, ada ulama dipergunakan untuk menentang gerakan Islam. Tebalnya kulit kitab yang dipelajari dan panjangnya ekor serban bukan jamiman seseorang ulama itu celik politik.

Sheikh al-Azhar ialah satu jawatan, jawatan tersebut buat masa sekarang dipegang oleh penjawatnya. Namun ilmu yang ada pada Sheikh al-Azhar turut dimiliki oleh orang lain. Belum tentu jawatan ini kekal dan Allah SWT berhak menggantikan orang lain ke jawatan itu pada bila-bila masa. Samalah juga dengan jawatan mufti.

Sesiapa yang menjawat jawatan ini usah sesekali menyangka ia akan kekal selama-lamanya. Sudah berlalu banyak orang yang hanya menjadi alat kepada gerakan sekular untuk melawan Islam. Tiba masanya, mereka dilontarkan ke tepi tanpa sesiapa bepaling lagi ke arah mereka.

Saya yakin rakyat Mesir tidak akan berdiam diri dengan perkembangan ini. Mursi menaiki takhta presiden dengan pilihan raya yang sah bukan dengan jalan penipuan melalui jalan raya.

Jika Hugo Chavez, Presiden Venezuela yang pernah digulingkan tentera suatu masa dahulu namun akhirnya kembali semula ke tampuk kuasa kerana tekanan rakyat, saya tidak nampak ia mustahil berulang di Mesir. Kudeta dan diktator bukannya pilihan manusia lagi di era sekarang.

Insya-Allah, sebagaimana Sungai Nil yang tidak berhenti mengalir, begitu juga nadi kebangkitan rakyat di Mesir pasti akan terus bergerak. Pada saya, fi zhilalil quran dan maalim fit toriq sedang melahirkan generasinya pada hari ini!

Doa dan solidariti untuk Mesir.

Leave a comment

Filed under General, News, Press Statement

Tidak dedah aib setelah bersengketa

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

24 Jun 2013

imagesKERJASAMA dalam masyarakat umpama dua belah tangan, saling membersihkan apabila menyedari sebelah tangannya kotor. Begitulah keadaan di antara ahli masyarakat jika melakukan kesilapan, hendaklah saling tegur menegur tanpa menyinggung perasaannya.

Setiap kali berlaku tegur menegur janganlah berkecil hati atau masam muka, dengan syarat orang yang menegur itu mesti mengguna bahasa yang sopan dan lemah lembut. Agar yang mendengar nasihat dapat menerimanya dengan hati terbuka, kerana nasihat itu tidak menyinggung perasaan orang yang menerimanya.

“Rohama-u bainahum,” di antara satu sama yang lain dalam keadaan kasihan belas dan berkasih sayang. Itulah sikap luhur yang mesti wujud dalam masyarakat Islam. Untuk mengetahui sama ada seorang kawan itu sungguh bersimpati dan baik hati iaitu; dia tidak menikmati makanan yang lazat sendirian tanpa ditemani bersama kawannya.

Jika dia merasai lazat dan seronok makan sendirian, maka itu tandanya dia tiada sikap ingin berkawan dengan orang lain. Terpaksa berkawan dengan sesama manusia, lantaran mereka duduk sekampung atau setaman dengannya. Sedangkan maksud berkawan bukan atas alasan begitu.

Bahkan kerana agama mengajar supaya anggota masyarakat itu ada sifat “suhbah” (persahabatan) dan “ukhuwah” (persaudaraan) dalam diri masing masing.

Antara tandanya lagi ialah jika seseorang pergi ke tempat yang menggembirakan hati, tetapi tidak mempelawa bersama kawannya. Itu tandanya dia tidak suka berkongsi kegembiraan dengan orang lain. Sikap dirinya terlalu keakuan dalam perkara yang sepatutnya boleh dikongsi.

Sewajarnya dia merasa terkilan apabila tidak mengajak kawannya bersama ke tempat tersebut. Di hatinya berkata; alangkah baiknya jika kawanku turut bersama, tentu dia rasai gembira bersama seperti yang dirasainya.

Selepas memperkatakan tanggungjawab tenaga dan jiwa raga terhadap kawan atau sahabat, kini diperkatakan pula tentang tanggungjawab lisan (lidah) ketika bersahabat.

Ada ketikanya kita kena cakap perkara tertentu, ada masanya lebih baik diam senyap tanpa kata-kata, apabila berdepan dengannya jika dia kawan atau sahabat kita.

Adapun perkara yang sepatutnya senyap tanpa ucapan, ialah dari menyebut keaiban dirinya. Sama ada di hadapan atau belakangnya. Jika seringkali menyebut keburukannya, perbuatan itu menjadi bukti bahawa anda tidak bersahabat dengannya.

Bahkan menjadi kewajipan kita berdiam diri, seolah-olah tidak tahu langsung wujudnya keaiban kawan kita itu. Seperti orang jahil langsung tidak mengetahuinya. Menjadi tanggungjawab seseorang itu membisu daripada menyebut keaiban kawannya, wajib bersikap jahil atas keaiban orang lain.

Hendaklah senyap tanpa kata daripada membalas balik, perkataan kawan yang boleh menjejaskan diri atau peribadi kita. Jangan berbalah dan berbantah atas isu tersebut.

Sebolehnya mengelak daripada meneruskan pertuturan tersebut, atau lencongkan daripada bercakap topik itu kepada isu yang lebih bermanfaat, atau berdiam diri. Supaya akhirnya dia sedar bahawa perbualan buruknya, tidak mendapat sambutan dan perhatian daripada kita.

Hendaklah senyap dan berdiam diri, daripada berkata yang bersifat menyelidiki (tajassus) hal ehwal peribadinya. Kerana perbuatan mencungkil rahsia adalah ditegah oleh Islam, seperti yang ditegaskan dalam ayat 12 Surah Al-Hujraat.  Perbuatan yang perlu dielakkan apabila berkawan, kerana ia boleh menimbulkan masalah dan menjejaskan hubungan persahabatan antara kedua-dua pihak.

Mungkin dia tidak suka orang lain terlalu ambil tahu tentang ehwal diri dan pekerjaannya. Apakah sebabnya yang perbuatan itu tidak manis jika terlalu bertanya khabar, ketika bertemu di saat dia membuat sesuatu perkara. Kerana boleh meninggalkan kesan berat atasnya, untuk menjelaskan sesuatu yang ditanya itu. Kadang kala mereka terpaksa tidak bercakap benar untuk menjawabnya, pertanyaan kita itu menyebabkan dia jadi pendusta.

Hendaklah tidak berkata akan rahsia-rahsia yang dia telah menceritakan kepada kita, sedangkan dia telah meletakkan kepercayaan sepenuhnya. Hingga dia sanggup mendedahkan rahsia kepada kita, sekali-kali tidak boleh mendedahkan rahsia tersebut, walaupun kepada kawan paling rapat dan dipercayai.

Tidak boleh mendedahkan walau sedikit pun rahsia seseorang, sekalipun setelah berselisih faham dan berbalah antara kedua-duanya. Orang mukmin tidak mendedahkan rahsia, sama ada ketika berkawan baik atau ketika bersengketa atau selisih faham.

Membuka rahsia seseorang walaupun setelah berbalah dengannya, jadi bukti bahawa hakikat peribadi yang berkenaan terlalu hodoh dan kotor. Sebagaimana ditegah mencaci peribadinya, begitu juga dilarang mencaci keburukan orang yang menjadi kawan temannya dan keluarganya.

Janganlah menyebut mengenai orang yang  menceritakan hal keburukan kawannya kepada kita, kerana golongan itu kelak yang akan dedah keaiban peribadi kita kepada pihak lain.

Wajar menasihati orang yang berurusan dengan golongan tersebut, sekadar mengingatkan agar berhati-hati tanpa menyebut dan menyenarai keburukannya.

Leave a comment

Filed under General, Press Statement

Cadangan PAS bersama Umno, pungguk rindukan bulan

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

20 Jun 2013

Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang penganalisis politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling seperti yang tersiar di dalam Sinar Harian hari ini 20 Jun 2013. Saya kira kenyataan yang dikeluarkan sangat tidak terawang-awang dan tidak berpijak di bumi nyata. Nampaknya pandangan karut ini cuba untuk disebarkan atas nama akademik kononnya, padahal jelas nampak kepentingan UMNO timbul di permukaan air.

Di dalam kenyataannya itu, beliau mencadangkan agar PAS bergabung dengan UMNO untuk memperjuangkan Islam. Ini kerana parti-parti yang ada di sekeliling PAS semuanya mengkhianati Islam. Hanya UMNO sahaja yang memperjuangkan Islam.

Pada saya, kenyataan ini sangatlah tidak berasas. Jika umpama dahan pokok untuk berpaut, profesor ini nyata sekali sedang bergayut di dahan yang rapuh. Barangkali kerana bimbang jatuh ke tanah digigit semut, terus menerus tangan memeluk dahan yang menunggu masa untuk tersemban. Lambat laun sebenarnya dahan ini akan jatuh jua.

Amatlah lucu sekali apabila beliau menyatakan bahawa hanya UMNO yang memperjuangkan Islam. Barangkali langkah UMNO membenarkan premis judi di Kelantan sebelum tahun 1990 dahulu salah satu daripada perjuangan Islam menurut kacamata ‘orang cerdik pandai’ ini?

Di Melaka, pernah seorang Ketua Menteri yang merupakan pimpinan tertinggi UMNO mencadangkan agar pusat hiburan dilanjutkan masa pembukaannya sehingga ke awal pagi, inipun juga barangkali perjuangan untuk menegakkan Islam. Itu belum dicampur kenyataan-kenyataan yang menghina Islam yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini. Semuanya termaktub di dalam lipatan sejarah dan generasi kita tidak buta untuk membaca semula catitan ini.

Saya ingin bertanya, jika sekarang mahu mengajak PAS bersatu dengan UMNO, apa lebihnya UMNO berbanding dengan PAS dalam hal memperjuangkan Islam?

Sewaktu pemimpin parti komponen Barisan Nasional menghina seorang wakil rakyat UMNO di Johor yang mencadangkan hudud dengan label ‘hilang akal’, di mana pemimpin UMNO menyembunyikan diri? Jika lebihnya UMNO ialah kerana bilangan kerusi, saya suka mencadangkan agar ADUN UMNO di Kelantan menyertai PAS kerana bilangan kerusi yang dimiliki oleh PAS di Kelantan lebih banyak jauh mengatasi UMNO!

Jika UMNO memperjuangkan Melayu, kenapa Kelantan dinafikan hak ke atas royalti minyak dalam keadaan majoriti rakyat Kelantan berbangsa Melayu dan beragama Islam? Kenapa UMNO memainkan peranan untuk menyekat pembangunan ke Kelantan dan ini diakui sendiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan satu ketika dahulu? Apakah perkataan yang lebih tepat untuk menggambarkan sikap seperti ini selain daripada pengkhianat?

Pada saya, Islam yang dibawa oleh UMNO ialah Islam celup. Selagi dasar yang menjadi tunjang perjuangan UMNO ialah kebangsaan, tiada apa-apa nilai terhadap gerak laku UMNO sekalipun nampak seolah-olah ia pro-Islam. Di zaman Rasulullah SAW, masjid Dhirar diperintahkan untuk diruntuhkan sekalipun ia sebuah masjid kerana ia didirikan bukan di atas semangat Islam yang sebenar.

Kerana itu, saya tetap berpendirian, PAS tidak akan bersama-sama UMNO selagi UMNO tidak menukar dasar. Berhentilah menjadi pungguk yang rindukan bulan. Saban malam merenung bulan sambil memanggil-manggil, mahu terbang sayap kecil, mahu biarkan sahaja, hati pula tidak sanggup melihat bulan dipagar bintang. Akhirnya si pungguk hanya mampu berbuat bising!

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh: 11 Syaaban 1434H bersamaan 20 Jun 2013M

Leave a comment

Filed under General, PAS, Press Statement

Tiada penyatuan PAS-Umno selagi saya hidup

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak akan membenarkan sebarang usaha ke arah penyatuan PAS dan Umno selagi beliau masih hidup.

Menurut bekas Menteri Besar Kelantan itu, PAS adalah milik semua ahlinya dan sebarang tindakan atau keputusan yang dibuat perlu mendapat persetujuan daripada semua ahli khususnya melalui muktamar.

“Tidak boleh sesiapapun mengatur usaha untuk mengadakan kerjasama antara PAS dan Umno apa lagi secara senyap-senyap, parti ini terbuka kepada orang ramai dan milik ahli.

“Saya tidak bagi, selagi saya masih hidup saya tidak akan benarkan usaha untuk menjalin kerjasama PAS dan Umno dilakukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily semalam.

Tuan Guru berkata Umno sejak awal lagi menolak dasar Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh PAS.

Tambahnya, selain persoalan dasar parti, banyak lagi perkara yang perlu dikaji terhadap kesilapan Umno dalam perjuangan mereka.

“Untuk itu tidak ada sebab kita ingin bersama mereka dan saya peringatkan pada yang lain jangan ada usaha ini,” ujarnya lagi.

Leave a comment

Filed under General, News, PAS