Tag Archives: Tawau

Membongkar isu-isu kritikal Tawau

Oleh: Ahmad Lutfi Othman

Pagi Ahad, 19 Januari. Hari kedua saya di Tawau. Dua panggilan Yang Dipertua PAS kawasan, Mohamad Husain, tidak sempat dijawab. Sejak awal pagi, kami agak terkejar-kejar membuat tinjauan ringkas, menyelongkar isu-isu rakyat di lapangan, yang belum didedahkan secara menyeluruh oleh media.

Saya dan wartawan Arif Atan tiba agak lewat di lokasi, Pasti Nurul Hannani, Jalan Kuhara. (Rupanya Pasti di Tawau – antara yang terbaik pengurusannya di Malaysia – mendapat sambutan hebat ibu bapa, termasuk keluarga penyokong dan pemimpin Umno).  Pengarang Berita, Wan Nordin Wan Yaacob sampai lebih awal. Majlis jamuan dan meraikan bekas tahanan ISA, bertempat sudah bermula.

Saya terpaksa berhati-hati menuruni cerun di jalan masuk depan Pasti.  Dua anak muda dengan sopan cuba memapah saya. Terasa macam orang tua kurang upaya!

Bekas tahanan dua kali dikurung di Kamunting, Ustaz Nazri Dollah, baru memulakan ucapan, menekankan teladan unggul Rasulullah s.a.w. Saya perlu meredakan kepenatan di barisan kerusi paling belakang sebelum bersama Nazri dan Mohamad di atas pentas,

Wajah jernih anak-anak kecil yang pernah berkunjung ke Pejabat Harakah menggamit perhatian saya. Begitu juga para isteri yang dulunya berwajah suram. Sekilas, saya dapat mengesan mereka kini dalam mood berbeda. Alhamdulillah.

Memang kunjungan kali ini bukan lagi waktu untuk berduka atau bercerita kisah sedih. Sebaliknya tanda simbolik menguburkan akta rimba penuh kezaliman yang memisahkan keluarga pejuang. Dan turut mahu dibenamkan ialah ketakburan elit penguasa serta kesombongan pencacai, khususnya anggota Cawangan Khas (SB).

“Saya kira selepas ISA dimansuhkan dua tahun lalu dan semua tahanan dibebaskan minggu lepas, maka ini mungkin kunjungan terakhir ke Tawau, ditambah pula keuzuran badan,” ujar saya dalam mukadimah forum  membariskan bekas tahanan berkongsi pengalaman.

“Rupanya, tidak. Dan saya terlewat sampai ini pun kerana terpaksa menyusun jadual melihat sendiri banyak projek sakit dan isu-isu rakyat di Tawau, seperti penyelewengan pembinaan Sekolah Menengah Titingan, dan paling mengejutkan insiden batu besar kuari meranapkan 12 rumah di Kampung Tanjung Batu Kukusan. Dahsyat sungguh!

“Insya-Allah, walaupun ISA sudah berkubur, saya dan rakan-rakan Harakah akan datang lagi ke Tawau,” kata saya, disambut ketawa kecil hadirin.

Seawal pagi hujung minggu itu (walaupun sudah dianggap lewat dalam kiraan jam di Sabah) kami menjejaki projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Titingan, Tawau, yang hampir siap dan sepatutnya sudah mula beroperasi tahun lalu.

Malam sebelumnya, kami dibawa menikmati juadah makanan laut yang segar dan enak, di sebuah restoran berdekatan, Sri Titingan, memaksa saya melanggar diet diabetis, jantung dan kegagalan buah pinggang.

Saya perhatikan kawasan sekolah dipagar sepenuhnya. Kami ditemani Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, juga Yang Dipertua PAS Kalabakan, Ahmad Dullah. Ahmad yang murah dengan senyuman dan kerap berjenaka itu seperti keberatan membenarkan saya menyelit melalui “lorong tikus”. Saya terpaksa mengempiskan perut dan menahan nafas untuk meloloskan diri.

“Dah jauh ke sini, haji, takkan tersekat nak masuk ke dalam, kot,” saya bersuara perlahan, ketawa kecil, sambil bertongkat mengimbangi badan agar tidak tersepit. Saya lebih risaukan benda-benda tajam yang boleh melukakan dan berisiko tinggi kepada pengidap diabetik.

Memang mengejutkan. Bangunan sekolah yang menelan kos RM40 juta itu boleh dikatakan siap sepenuhnya tetapi kini terbiar sepi. Lalang hampir separas pinggang.

Banyak peralatan, termasuk pendingin hawa telah dicuri. Hatta pintu dewan besar pun tanggal, lesap. Apatah lagi jeriji besi yang boleh dijual di pasaran gelap dengan mudah.

Pelik bin ajaib juga memikirkan punca masalah bagaimana bangunan sekolah yang siap tidak dapat dimanfaatkan. (Tapi, bukankah tiada yang aneh di negara tercinta ini, segalanya serba mungkin dan tiada yang mustahil, ‘kan?)

Difahamkan tiada jalan masuk ke sekolah baru ini. Soalnya, bagaimana projek boleh diluluskan tanpa dibereskan kemudahan paling asas terlebih dahulu? Mungkinkah – untuk kesekian kali – rasuah atau elemen seumpamanya. Sepertimana pernah menyebabkan banyak lagi projek sebelum ini terbengkalai atau roboh kemudiannya, terutama di bawah Kementerian Pendidikan?

Soalan-soalan itu sebenarnya tidak lagi menimbulkan tanda tanya, malah sudah ada jawapan “sejak azali” lagi! Ya, pemerintahan Umno-BN tidak dapat dicerai-tanggal daripada korupsi, kronisme, salah guna kuasa atau sekurang-kurangnya pembaziran melampau.

Lebih aneh lagi apabila khabarnya Putrajaya telah dimaklumkan bahawa pelajar-pelajar sudah berpindah ke sekolah baru itu.

Belum lega dengan kejutan itu, kami dibawa ke sekolah tumpang, di kawasan setinggan berhampiran, yang terpaksa menampung pelajar sekolah terbengkalai tersebut. Melihat situasi di sekeliling, saya dapat membayangkan risiko tinggi yang menunggu, antaranya banjir dan kebakaran.

Sementara menunggu hidangan juadah nasi Arab di majlis meraikan bekas tahanan ISA, seorang guru membisikkan kepada saya: “Bukan hanya sekolah Titingan yang terbengkalai, banyak lagi projek sakit di Tawau ini.” Dia menyebut nama dua sekolah menengah itu, Kubota dan Kinabutan, yang kemudiannya kami lawati esok hari, bersama Mohamad Husain.

Secara peribadi saya tidak begitu kaget dengan perkampungan setinggan atau penempatan di atas air di Tawau. Semasa di Sandakan beberapa bulan lalu, saya perhatikan situasi di sana lebih sesak dan menyedihkan. Begitu juga dengan keadaan anak-anak kecil yang berkeliaran di pasar.

Saya lebih terdorong dan rasa bertanggungjawab untuk mengangkat isu kuari di Kampung Kukusan. Melihat sendiri bongkah batu sebesar rumah, yang meranapkan 12 kediaman, cukup menggerunkan.

Berdepan “lembaga” batu sebesar itu, yang jatuh bagaikan peluru selepas puncak bukit diletupkan, pada April 2013, saya bukan saja terkejut tetapi sekali gus api kemarahan memuncak.

Bukankah aktiviti pengkuarian terpaksa melalui prosedur yang cukup ketat, khususnya daripada Jabatan Alam Sekitar, yang memerlukan laporan EIA dan persiapan kawalan risiko kecemasan yang diluluskan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak polis?

Bukan saja impak gegaran, bau, bunyi bising dan habuk yang diambil berat, malah prioriti paling atas adalah aspek keselamatan, bukan hanya terhad kepada manusia tetapi juga binatang.

Difahamkan kawasan kuari juga hendaklah dilanskap dengan tumbunhan rendang yang dapat menghalang pandangan visual penduduk terdekat. Selain itu, operasi kuari hendaklah dihentikan serta merta jika terdapat sebarang aduan pencemaran atau gegaran atau batu terbang (flyrock) daripada penduduk sekitar.

Dan sebagai rakyat biasa, saya rasa terhina dengan sikap rakus dan memandang rendah keselamatan orang awam, konspirasi ahli perniagaan tamak bersama elit pemerintah takbur.

Sama sekali anda tidak boleh mempercayainya apabila letupan kuari sedahsyat itu, yang memuntahkan bongkah batu pejal yang masih tersergam, namun ia masih belum berjaya menghentikan operasinya.

“Inilah bukti kerja jahat kapitalis rakus yang mahu mengorek segala khazanah bumi tanpa menghiraukan keselamatan orang awam,” Arif Atan meluahkan rasa hati semasa kami masih berkereta menuju jalan masuk ke Kg Kukusan atau lebih popular dengan sebutan Besi Buruk.

“Rasuah dan korupsi akan menghanguskan segalanya,” pintas saya. “Dan inilah peranan media bebas seperti Harakah. Kita harus turun selalu ke Sabah. Banyak cerita misteri yang belum kita korek tersimpan di sini,” saya seakan berkhutbah.

Dari bawah, saya mendengar dengan jelas gegaran di atas bukit, dan melihat kilauan pancaran cahaya daripada mesin pengorek yang terus digerakkan.

Malah, seorang wanita, penduduk kampung, menunjukkan salinan pemberitahuan, bertarikh 20 Januari 2014, daripada pengurusan Kukusan Kuari Tawau bahawa “peletupan bom batu” akan dijalankan pada jam 1.30 petang, 21 Januari.

Petaka apa yang masih ditunggu, bukan saja untuk menghentikan serta merta operasi kuari itu, tetapi juga untuk membentuk satu siasatan terperinci bagi mengenal pasti akar kepada kejadian ngeri yang masih menghantui penduduk itu?

Selama tiga hari di Tawau, saya cukup terkesan dengan personaliti hebat rakan-rakan PAS, tidak terkecuali Muslimat, yang banyak membantu dan ringan tulang, termasuk bersama isteri saya, Siti Hawa Samsam menyediakan juadah nasi Arab untuk jamuan meraikan bekas tahanan ISA.

Dan saya tentu sekali tidak dapat melupakan sosok tubuh “Uncle Jefferey”, 68, atau nama sebenar Kideng ak Benang, seorang lelaki Iban yang tabah dan cekal. Ungkapan kata yang dituturkannya cukup menarik dan membekas. Beliau bijak menyusun madah dan mampu membangkitkan semangat.

Bertemu mata dengannya, mencuri masa kerja beliau sebagai pengawal keselamatan selepas dipaksa meninggalkan kerjaya sebagai petani berjaya, dan berbicara tentang kemusnahan kawasan bercucuk tanam  dan penempatan yang diterokainya sejak 1978, begitu menyentuh hati.

Satu lagi testimoni tentang kerakusan pemerintah merampas tanah yang diusahakan titik peluh rakyat. Saya rasa terkilan kerana tidak sempat mengunjungi kampungnya bagi menyaksikan sendiri proses kezaliman yang tidak pernah terhenti.

“Bukankah pelik apabila kita, manusia, sebagai makhluk Tuhan yang paling indah telah diusir lebih hina berbanding binatang.

“Saya sendiri pernah katakan kepada pihak perhutanan Sabah, gajah, dan binatang liar dalam hutan kamu jaga, pelihara. Sedangkan manusia seperti kami dan sama seperti kamu juga, ciptaan Tuhan yang begitu indah, tapi tidak difikirkan hak sesama manusia, diusir tanpa memberi pilihan,” ujarnya lembut tetapi nampak tegas.

Jefferey seterusnya menceritakan perancangan beliau dan rakan-rakannya untuk kembali ke kawasan penempatan mereka yang telah dimusnah dan dirampas: “”Kami akan kembali ke sana 10 April ini. Setiap tahun sejak empat tahun lalu kami berdoa di sana.

“Saya minta kepada Tuhan supaya Tuhan memberi kebijaksanaan, melembutkan hati mereka agar mengembalikan hak rakyat yang mereka rampas. Langkah saya tidak terhenti begitu saja. Setiap tahun kami berdoa begitu. Perjuangan kami belum selesai,” tambahnya penuh yakin. Benar, saya tidak perlu menunggu lama untuk mengkagumi watak lelaki ini.

Ikuti kisah menarik Jefferey, bekas ketua cawangan Umno dan seorang yang boleh dianggap bertaraf paderi, juga pelanggan tetap Harakah yang tidak pernah absen mengikuti ruangan kuliah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tok Guru Abdul Hadi Awang, dalam Harakah akan datang.

Leave a comment

Filed under General, News, PAS

Penghargaan OKU untuk PAS Sabah

sabah

Tiada kata selain rasa syukur ke hadrat Ilahi apabila program Prihatin OKU yang dirancang oleh kumpulan muslimat Parti Islam Semalaysia (PAS) Tawau sejak beberapa bulan lalu dapat dilaksanakan dengan jayanya. Segalanya bermula apabila seorang aktivis muslimat Tawau yang cukup mesra dengan panggilan Kak Anna mula menghubungi kami di Sekretariat Prihatin OKU sebaik selesai Pilihan Raya Kecil Kuala Besut.

Sepanjang kami berada di Tawau, masa yang kami lalui cukup berharga. Saya cukup teruja dengan persaudaraan yang terjalin antara jentera muslimat, pemuda dan PAS kawasan seluruh Sabah yang bersungguh-sungguh menjayakan program Prihatin OKU di sana. Tidak mampu saya ungkapkan setiap komitmen kalian yang mudah-mudahan akan diganjari Allah SWT.

Sebaik saja saya dan isteri berserta bapa menjejakkan kaki di bumi Tawau pada petang 6 Disember, setelah berehat sambil menjamu sup payau, kami terus dibawa oleh Ustaz Rusli, salah seorang eksko pemuda ke tempat menginap di Bandar Tawau. Hanya pada petang itulah saya diperkenalkan dengan Kak Ana, seorang muslimat yang cukup gigih membawa suara OKU melalui PAS di sana yang juga ditemani Timbalan Pengarah program yang juga merupakan isteri Timbalan YangDipertua PAS Tawau, Puan Muliani Jamjam.

Sebelah malamnya, selepas mengadakan perkongsian pengalaman dalam kuliah maghrib di Masjid Kampung Muhibbah, sesi penerangan ringkas terus dimulakan bersama Mantan Timbalan Pesuruhjaya Sabah, Haji Ahmad Bin Dullah. Kak Ana telah memaklumkan kepada kami sekitar 40 orang telah berdaftar untuk sama-sama hadir dalam program kami pada keesokan harinya. Disebabkan program kali ini adalah kali pertama dianjurkan, dapat saya rasakan betapa mereka begitu bimbang akan sambutan daripada OKU dan masyarakat.

Pada pagi 7 Disember, sebaik memasuki bilik Diraja, Majid Alkauthar di mana program diadakan, Alhamdulillah saya dimaklumkan jemputan yang hadir melebihi sasaran. Seramai 75 orang peserta yang terdiri dari ibu bapa dan OKU telah hadir dari segenap kampung. Selain mereka, turut bersama menjayakan program sehari tersebut ialah penggerak-penggerak PAS dari Tawau, Kalabakan, Lahad Datu dan beberapa kawasan berdekatan.

Selain itu, cukup saya terharu bila Naib Ketua Dewan Musliman PAS Negeri Sabah, Suzie Faezah Antong yang cukup mesra dengan panggilan Kak Faezah, turut bersama sepanjang program berlangsung. Komitmen beliau menempuh perjalanan 13 jam dari Kota Kinabalu kerana hadir semata-mata ingin bersama kami cukup dirasai. Perjalanan di Negeri Di Bawah Bayu ini bukanlah sama seperti perjalanan di kebanyakan tempat di semenanjung.

Program Prihatin OKU berjalan sejak pagi hingga ke waktu asar. Selain perkongsian pengalaman, kami turut mengadakan sesi dialog dan soal jawab. Kehadiran pimpinan dan penggerak PAS sepanjang program cukup bermakna. Selain menyaksikan kelancaran program, mereka pastinya lebih memahami isu-isu yang didepani oleh OKU dan keluarga bila mana berpeluang mendengar sendiri pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh OKU dan keluarga melalui sesi dialog yang diadakan.

Bagi pihak hadirin yang terdiri dari ahli keluarga OKU dan OKU sendiri, perhatian yang diberikan oleh pihak penganjur begitu dirasai. Bukanlah mereka mengharapkan pemberian atau sumbangan, memadai apabila ada pihak yang sudi berkongsi susah dan mendengar keperitan hidup yang dilalui selama ini.

Pada sebelah malamnya pula, selepas memenuhi jemputan kuliah maghrib di Majid Alkauthar, kami bertandang pula ke Bandar Fajar tempat teletaknya pejabat PAS kawasan Tawau. Seluruh pimpinan PAS termasuklah Haji Ahmad Dullah, Kak Faezah dan Timbalan Yang Dipertua PAS Tawau, Cikgu Nasir Che Ali, terus mengadakan perbincangan dalaman ke arah mempergiatkan lagi usaha prihatin OKU di Sabah umumnya dan Tawau khususnya. Sesi perbincangan yang dipengerusikan oleh saudara Suhazman Sudirman tersebut cukup memberangsangkan dengan suasana kekeluargaan. Sesi yang pada awalnya dijangka cepat selesai, berlarutan selama hamper tiga jam.

Kesempatan mendengar sendiri persoalan yang dilontarkan sepanjang sesi dialog pada siang hari memberi pengertian dan kefahaman tersendiri kepada seluruh penggerak dan pimpinan parti. Dapat saya rasa akan komitmen seluruh penggerak PAS yang hadir bagi memastikan PAS terus mampu meneraju usaha-usaha membela rakyat umumnya dan OKU khususnya.

Lebih dari itu, kemanisan berjemaah begitu sekali terasa sepanjang kami di sana. Biarpun berkunjung ke Pasar Gantung, Pasar Tanjung atau ke Pasar Tani Sabindo cukup menyeronokkan, nyatanya berjuang di medan penuh sukar dengan dokongan setiap para pejuang yang ikhlas kerana Allah jauh lebih manis dan menggembirakan.

Dengan satu permulaan yang baik untuk negeri Sabah umumnya dan kawasan Tawau khususnya, saya penuh harap agar program Sekretariat Prihatin OKU akan terus diaktifkan pada masa hadapan. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga PAS yang telah bertungkus lumus menjayakan program sehari di sana. Seterusnya saya mendoakan agar semarak Islam terus dapat dijelmakan melalui PAS agar rahmatnya dapat dirasai oleh setiap insan yang amat memerlukan.

Kepada sahabat-sahabat di Kota Kinabalu, Kalabakan, Lahad Datu dan kawasan-kawasan lain, iltizam kalian untuk menurut jejak langkah yang telah dimulakan amat kami hargai. Semoga kesungguhan pimpinan dan jentera PAS Sabah dapat diikuti oleh PAS negeri-negeri lain bagi memastikan setiap OKU dan ahli keluarga merasai nikmatnya Islam melalui perjuangan Parti Islam Semalaysia.

Leave a comment

Filed under General, PAS

Resolusi Konvensyen PAS Negeri Sabah 2013

1456040_676455292372642_1015951061_n1459114_675992812418890_1301369997_n3jpg

1. PAS akan menubuhkan jawatankuasa pemerkasaan parti peringkat negeri Sabah bagi melicinkan lagi aspek pengurusan dan perkembangan PAS di Sabah.

2. Kerjasama dan hubungan rapat PR akan diperkukuhkan bagi menghadapi PRU14.

3. Tindakan memecahbelah rakyat melalui isu perkauman dan agama hanya tindakan terdesak BN, kerana PAS sememangnya mengiktiraf perbezaan kaum dan agama selari dengan Islam.

4. PAS dengan ini melancarkan Pusat Aduan Rakyat (PAR) disemua peringkat kawasan sebagai pus at penerimaan aduan dan permasalahan rakyat.

5.PAS mendesak agar pengurusan pendidikan Islam diurus secara terancang serta menaiktaraf prasarana pendidikan keseluruhannya.

6.Autonomi perlu dikembalikan dalam pelbagai sektor kepada Sabah sebagaimana yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963.

7.PAS mendesak agar mempertingkatkan peluang pekerjaan dan latihan kemahiran diberi keutamaan oleh kerajaan kepada golongan muda.

8.Melihat kepada isu keselamatan yang semakin membimbangkan, PAS berharap kerajaan mempertingkatkan lagi aspek keselamatan melalui kerjasama pelbagai agensi dengan lebih efisyen.

1 Comment

Filed under News, PAS, Press Statement

Peguam terkenal, jurutera, pegawai bank antara calon PAS Sabah

calon sabah

TAWAU: PAS Sabah menampilkan calon profesional yang terdiri daripada pegawai bank, jurutera, pengurus syarikat dan tokoh masyarakat setempat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Pengisytiharan calon dibuat oleh Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada majlis jamuan rakyat di perkarangan pejabat PAS Kawasan Kalabakan.

Menurut Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling PAS Sabah berazam bersama-sama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat bagi merealisasikan impian dan cita-cita seperti yang digariskan dalam manifesto Pakatan Harapan Rakyat diperingkat negeri dan persekutuan.

“PAS menawarkan kepimpinan jujur, amanah dan adil kearah menjadikan Sabah sebuah negeri yang maju dan moden seiring dengan negeri-negeri yang maju di semenanjung Malaysia,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Berikut merupakan calon-calon di peringkat Parlimen dan Dun Sabah:

P.185 Batu Sapi

Hamzah Abdullah

•    Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah
•    Lulusan BA (Hons) Middlesex University, United Kingdom
•    Mantan Pemimpin Kemajuan Rakyat Sekong
•    Mantan Ketua Kesatuan Pelajar Sabah di United Kingdom
P.191 Kalabakan

Usman Madeaming

•    Lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
•    Ketua Pemuda PAS Kawasan Kalabakan
•    Mantan Naib Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Sabah (Permis) UKM

N.3 Pitas

Dausieh Queck

•    Setiausaha NGO Salimah Teras Sabah
•    Lulusan Diploma Pentadbiran dan Perniagaan Kolej PTPL
•    Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Dusun Tambanuo Sabah

N.6 Tempasuk

Awang Laiman Ikin

•    Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Sabah
•    Mantan Naib Presiden Persatuan Anak Yatim Kebangsaan (Peyatim)
•    Lulusan Usuluddin Universiti Al-Azhar Mesir
•    Mantan Naib Presiden Persatuan Iranun Sabah (Pisba)

N.17 Tanjong Aru

Hamid Ismail

•    Peguam di Hamid & Co
•    Lulusan Ijazah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA)
•    Diploma Pengajian Islam, Universiti Malaysia Sabah

N.48 Sukau

Ahdah Sulaiman

•    Tokoh Pembela Isu Tanah di Kinabatangan
•    Lulusan Diploma Pentadbiran dan Perniagaan
•    Mantan AJK Umno Bahagian Kinabatangan

N.51 Kunak

Kasman Karate

•    Mantan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam (Gamis) Borneo
•    Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS)
•    Setiausaha PAS Kawasan Silam

N.54 Bugaya

Hasai Tudai

•    Jurutera kanan di Ikramtic System Sdn Bhd
•    Lulusan Bacelor Sains (Hons) Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM)

N.58 Merotai

Ahmad Dullah

•    Mantan Penolong Pengurus Cawangan Bank
•    Lulusan Bacelor Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM)
•    Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah
•    Mantan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

N.59 Tanjong Batu

Fatmawaty Mohd Yusuf

•    Pengerusi Ameerah Sabah
•    Lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia Universiti Malaysia Sabah
•    Bendahari PAS Kawasan Kalabakan

N.60 Sebatik

Daud Jalaluddin

•    Pengerusi Persatuan Bajau Tawau
•    Lulusan Ijazah Pemasaran, Indiana Institute Of Technology, United States
•    Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Tawau

Leave a comment

Filed under Election, News, PAS

PEGUAM DAN PEGAWAI BANK ANTARA CALON PAS SABAH

tgha

TAWAU : Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah membuat pengisytiharan calon PAS Sabah di satu majlis jamuan rakyat anjuran parti itu di perkarangan pejabat PAS Kawasan Kalabakan. Diantara yang terpilih menjadi calon-calon Pas ialah peguam, pegawai bank, jurutera, pengurus syarikat, pemimpin mahasiswa dan tokoh masyarakat setempat. Pas telah menampilkan dua calon wanita, tiga orang pemuda dan 100% calonnya berkelulusan kolej dan universiti.

PAS menawarkan kepimpinan jujur, amanah dan adil kearah menjadikan Sabah sebuah negeri yang maju dan moden seiring dengan negeri-negeri yang maju di semenanjung Malaysia. PAS berazam bersama-sama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat merealisasikan impian dan cita-cita sepertimana yang telah digariskan dalam manifesto Pakatan Harapan Rakyat diperingkat negeri dan persekutuan.

Pakatan Harapan Rakyat, Ini kalilah!

Mohd Aminuddin Aling
Pesuruhjaya PAS Sabah

Dilampirkan senarai calon Pas Sabah

PRU13: Senarai bakal calon PAS di negeri Sabah

PARLIMEN
P185 Batu Sapi : Hamzah Abdullah
P191 Kalabakan : Usman Madeaming

DEWAN UNDANGAN NEGERI (DUN):
N3 Pitas : Dauseh Binti Queck
N6 Tempasuk : Awang Laiman Hj Ikin
N17 Tanjung Aru : Hamid Ismail
N48 Sukau : Ahdah Sulaiman
N51 Kunak : Kasman Karate
N54 Bugaya : Hasai Tudai
N58 Merotai : Ahmad Dullah
N59 Tanjung Batu : Fatmawaty Binti Mohd Yusuf
N60 Sebatik : Daud Jalaluddin

Leave a comment

Filed under Election, News, PAS

TABAH Semak Warga Asing Dapat Tanah di Sabah

KUALA LUMPUR: PAS mengarahkan NGO berkaitan tanah di Sabah, Lajnah Pembela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) membuat semakan berhubung jumlah warga asing yang mendapat tanah di negeri itu khususnya di Lahad Datu, Semporna dan Tawau.

tabah
Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, semakan tersebut termasuk di Gugusan Felda Sahabat yang berkeluasan 104,000 hektar.

Ini kerana katanya, pemilikan tanah di kawasan tersebut dikhuatiri ada kaitan dengan isu pemberian kad pengenalan segera kepada warga asing sewaktu Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

“Saya minta Tabah buat kajian dan semakan. Kebimbangan saya ialah bila mereka dapat kad pengenalan lama dahulu masa Tun Datu Mustapa. Tapi isu tanah tak berbangkit masa itu sebab Felda belum ada.

“Tapi zaman Tun Dr. Mahathir jadi PM, Felda dah ada dan bila dia beri kad pengenalan segera, masa itu Gugusan Felda Sahabat dibuka.

“Kita akan buat semakan adakah jumlah peneroka dan pekerja ladang ini termasuk puak-puak (yang diberi kad pengenalan) ini,” kata beliau dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, jalan Raja Laut hari ini.

Hasil semakan itu akan dibincangkan dalam seminar melibatkan pakar-pakar mengenai isu tanah yang berkait dengan perundangan yang sedia ada.

“Apakah dia reformasi yang boleh kita kita lakukan terhadap dasar-dasar tenah negara supaya tanah ini yang kepentingan strategiknya patut menjadi keutamaan negara kita tidak mudah terdedah kepada pihak asing.

“Kita akan bentang apa langkah penambahbaikan terhadap akta kanun tanah negara, kedudukan tanah rezab Melayu dan juga enakmen tanah negeri yang sebahagiannya perlu dikaji semula,” katanya.

Mazlan juga menyuarakan kebimbangan isu pencerobohan Lahad Datu sekarang ini ada kaitan dengan janji Kerajaan Malaysia untuk memberikan tanah kepada mereka seperti yang didakwa.

“Saya tegaskan, isu kedaulatan terutamanya dalam konteks pemilikan tanah tak harus menjadi percaturan kepada pihak asing. Ini soal dan pemilikan tanah rakyat dalam negeri dan negara dan dengan kata lain kita tak boleh pertaruh soal kedaulatan dan pemilikan tanah ini untuk kepentingan politik.

“Saya merujuk versi cerita bagaimana kononnya tanah di Felda nak diberi kepada pihak luar sebagai janji politik.

“Rakyat dalam negeri kita pun masih terlalu ramai yang perlukan tanah, mereka masih hidup menumpang dan menyewa. dengan kehidupan yang begitu sukar tiba-tiba ada percaturan politik,” katanya yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Tingkatkan pemantauan di Felda Sahabat

Sementara itu, Mazlan turut menyeru pihak keselamatan meningkatkan pemantauan di Gugusan Felda Sahabat sepanjang Ops Daulat di Kampung Tandou.

Katanya, nyawa peneroka dan pekerja ladang harus diutamakan dan aktiviti mereka untuk mengeluarkan hasil sawit tidak dibiarkan tergendala.

“Aktiviti mengeluarkan hasil sawit mesti diteruskan kerana sawit hanya bertahan hingga sepuluh hari. Kalau tak buah menjadi busuk dan kadar berat tan sawit dan kadar perahan gred merosot,” katanya.

Gugusan Felda Sahabat yang berhampiran Kampung Tanduo ialah Felda Sahabat 17, 18, 19, 22 dan 56.

Sumber: Harakahdaily

Leave a comment

Filed under News, PAS

Kenyataan Akhbar Isu Kalimah Allah

PAS Kawasan Tawau memandang berat kenyataan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Herbert Timbon Lagadan yang menyifatkan jaminan PAS bahawa masyarakat Kristian boleh menggunakan perkataan “Allah” dengan bersyarat tidak lebih umpama “pil racun yang disalut dengan gula dan coklat”.

Adalah malang bagi masyarakat yang beragama di dunia ini kalau dipimpin oleh orang yang terus berprasangka buruk apabila dihulur tangan persahabatan. Sangat  jelas sekali Datuk Herbert tidak tahu apa syaratnya tetapi beliau terus menuduh jaminan itu umpama “pil beracun bersalut gula dan coklat”.

Datuk Herbert sekali lagi menunjukkan kedangkalannya apabila menolak dialog yang ditawarkan oleh PAS Sabah bagi memberi penjelasan berkenaan isu penggunaan kalimah “Allah” ini. Bagaimana  mungkin kita mencari kebenaran kalau kita menolak dialog yang memberi ruang untuk bertukar fikiran dan pendapat secara terus dan tuntas.

Yang peliknya Datuk Herbert boleh selesa dengan sikap Barisan Nasional (BN) yang menghalang penggunaan kalimah “Allah” oleh penganut agama Kristian. Apakah Datuk Herbert mudah terlena dan selesa setelah disumbat dengan gula-ula oleh BN. Gula-gula apakah yang digunakan oleh BN?

PAS tidak akan berputus asa dan menyeru semua masyarakat supaya bersikap lebih terbuka dan lebih bertoleransi  erhadap amalan agama dengan aman dan saling hormat hormat-menghormati. Tawaran PAS untuk berdialog terus erbuka dengan pelbagai isu termasuk penggunaan kalimah “Allah” ini.

Mohamad Husain
Yang Dipertua
PAS Kawasan Tawau
29 Mac 2012

Leave a comment

Filed under PAS, Press Statement

TAJUK BERITA PORTAL SABAHKINI TIDAK TEPAT

Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah ingin membuat pembetulan mengenai tajuk berita Portal sabahkini yang bertajuk “10 AKTIVIS PAS SABAH DI TAHAN DI BAWAH ISA”.
 
Ingin dijelaskan di sini bahawa dalam kenyataan Pesuruhjaya PAS Sabah Saudara Mohd Aminuddin Bin Aling sebelum ini langsung tidak menyebut “10 aktivis PAS Sabah” tetapi ianya disebut sebagai “10 pendakwah dan aktivis Islam”.

Untuk keterangan lanjut sila rujuk kenyataan asal.

MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN
Ustaz Awang Laiman Hj Ikin
Setiausaha Perhubungan PAS Sabah

Leave a comment

Filed under News, PAS

KENYATAAN AKHBAR : TANGKAPAN AKTIVIS ISLAM DI BAWAH ISA

  1. Masyarakat seluruh Tawau tergempar dengan berita penangkapan 10 pendakwah dan aktivis Islam di Tawau pada hari Isnin 14. November 2011. PAS Sabah mohon supaya pihak polis mengeluarkan kenyataan  bagi menjelaskan kedudukan sebenar supaya berita ini tidak disalah tafsir dan akan menimbulkan pelbagai sangkaan buruk terhadap setiap orang yang ditangkap.
  2. Tangkapan pendakwah dan aktivis Islam dengan perbagai profesion tersebut dilakukan oleh pegawai-pegawai polis dari Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman bin Omar. Keluarga / Waris orang yang ditangkap dimaklumkan sehari kemudian yang mereka ditangkap di bawah Seksyen 73 (1) AKDN 1960 (ISA).
  3. Penangkapan tanpa waran, tanpa notis atau dimaklumkan dilakukan di hadapan  isteri dan anak-anak terlalu tragis. Situasi ini dilakukan oleh pihak polis yang lengkap bersenjata dengan cara yang kasar bagai satu rompakan dan dirampas beberapa komputer riba (laptop) dan sejumlah wang tunai.
  4. Baru sahaja Perdana Menteri menghebahkan dengan gahnya bahawa ISA akan dimansuhkan kini kelegaan rakyat dikejutkan dengan tangkapan ISA. Di manakah kesungguhan Perdana Menteri,? Jujurkah beliau semasa membuat kenyataan pamansuhan ISA? Kini AKTA ISA yang “draconian” (mengerikan) itu menjelma kembali.
  5. Antara yang ditangkap adalah pendakwah yang disegani di seluruh Tawau. Apakah tangkapan ini menunjukkan sikap “bengis “kerajaan (UMNO-BN) terhadap kerja-kerja Islam? Masyarakat yang sakit moral kini sangat perlukan pendakwah kenapa mereka ditangkap. Anehnya pembawa punca keruntuhan akhlak dan moral dibiar berleluasa. tanpa tindakan yang proaktif.
  6. PAS Sabah sangat dukacita dan kesal terhadap tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan yang akan menyebabkan porak-poranda kepada seluruh keluarga orang-orang yang ditahan dan sekali gus memberi kesan atau impak yang negatif terhadap masa hadapan  anak-anak mereka.
  7. PAS Sabah menuntut, supaya semua tahanan tersebut dibebaskan serta merta tanpa syarat.

Mohd. Aminuddin Aling
Pesuruhjaya PAS Sabah
14hb November 2011

Leave a comment

Filed under PAS, Press Statement

Sabah PAS wants Tawau Council to cancel Inul show

Tawau: Parti Islam SeMalaysia (PAS) Youth wing on Friday handed a memorandum to the Tawau Municipal Council (TMC) to cancel the planned concert at Tawau Sport Complex on May 29 by Indonesian celebrity, Inul Daratista, famous for her hip gyrations.

Sabah PAS Deputy Commissioner 1, Haji Hamzah Abdullah, handed over the memorandum to TMC Senior Administration Officer Datu Rafee Datu Makling. Also present was PAS Tawau President Mohamad Husain.

The memorandum suggested that the concert be cancelled negative element and could create social problems. PAS said the organiser should look for Malaysian artistes with polite dressing and accepted by majority of Malaysians.

About 100 people conducted a peaceful demonstration at the compound of Masjid Al-Khautar after Friday prayers followed by the handing over memorandum to TMC at 2pm.

They also displayed several posters/banners calling on Inul to go home.

It was learnt that the demonstration involved 10 mosque chairmen in Tawau and 10 non-governmental organisations. Police and special branch personnel were also at the scene.

No police permit was issued for the gathering.

Inul Darastista or Ainul Rokhimah has been labeled by the Indonesian Muslim Cleric Council as a “stripper” because of her “gelek” dancing.

Leave a comment

Filed under News