Tag Archives: Mursyidul ‘Am PAS

Dr Haron Din dilantik Mursyidul Am PAS yang baharu

 

10999889_10206358526071374_3164350011332392704_nKUALA LUMPUR: Datuk Dr Haron Din dilantik sebagai Mursyidul Am PAS yang baharu bagi menggantikan Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Demikian dimaklumkan Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata, pelantikan Dr Haron yang sebelum ini adalah Timbalan Mursyidul Am PAS itu diputuskan sebulan suara pada mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 8 Mac lalu di Pejabat Agung PAS, di sini.

Menurut beliau lagi, pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakob dipilih sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS menggantikan tempat Dr Haron Din.

Katanya, anggota-anggota dalam Majlis Syura Ulamak yang lain tidak berubah. -HARAKAHDAILY 11/3/2015

Leave a comment

Filed under News, PAS

Tuan Guru Mursyidul ‘Am PAS kembali ke rahmatullah: Kenyataan Media PAS Sabah

10968351_783858838372443_5400339287013130002_n

PAS Sabah merakamkan rasa dukacita dan takziah kepada ahli Parlimen Pasir Mas YB Nik Abduh bin Nik Abdul Aziz, ahli keluarganya, seluruh rakyat Kelantan dan ahli PAS atas pemergian Musyidul Am PAS Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang kembali kepangkuan Allah SWT pada 12.2.2015.

Kehilangan dan pemergiannya pasti sukar dicari ganti. Jasanya kepada umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia Islam amnya akan dikenang selama-lamanya.

PAS Sabah berharap semua umat Islam di Sabah mendoakan keampunan dan keredhaan Allah kepada Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin.

PAS Sabah juga berharap agar semua pemimpin Islam di Sabah dapat mencontohi kezuhudan dan keperibadian Tuan Guru Nik Aziz yang tidak mementingkan harta dan pangkat semasa menjadi Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun. Beliau merupakan ikon politik dan diterima semua kaum tanpa mengira agama. Beliau juga telah menunjukkan sifat seorang muslim sejati dan integriti yang amat tinggi.

Terima kasih.

HAMID ISMAIL

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah

13 Februari 2015

Leave a comment

Filed under News, PAS, Press Statement

PERUTUSAN MURSYIDUL AM SEMPENA MERDEKA 2014

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Surah Ad-Zariyat, 56)

Alhamdulillah, Allah SWT masih lagi memanjangkan nyawa kita hingga ke saat ini dan mengizinkan kita untuk sama-sama mengecapi suasana sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia untuk tahun 2014 ini. Sesungguhnya nikmat nyawa yang berpanjangan merupakan satu kesempatan yang cukup berharga yang dikurniakan Allah SWT untuk digunakan dengan sebaik mungkin bagi memastikan kita tergolong di kalangan hambahambaNya yang soleh.

Di dalam Islam, tiada istilah bebas yang mutlak. Manusia tidak merdeka sepenuhnya dan boleh menentukan kemahuan sebebasnya kerana peraturan hidup manusia sudah lengkap digariskan oleh Allah SWT melalui syariatNya. Bahkan tujuan manusia diciptakan itu sendiri ialah untuk menjadi hamba Allah SWT. Hamba dalam erti kata tunduk patuh sepenuhnya kepada perintah Allah SWT selaku Tuan kepada seluruh alam semesta ini.

Justeru di dalam Islam, merdeka ialah bebas dari belenggu perhambaan sesama manusia samada bersifat perhambaan fizikal mahupun perhambaan ideologi. Adalah menjadi satu silap faham yang besar sekiranya difahami bahawa perhambaan di dalam bentuk fizikal semata-mata. Di dalam dunia moden yang menyaksikan hampir tidak ada manusia yang diperhambakan secara fizikal, perhambaan wujud pula dalam bentuk ideologi. Manusia menganut ideologi dan fahaman yang direka-reka sendiri oleh orang-orang terdahulu sekaligus menolak Islam selaku cara hidup yang syumul dan lengkap. Lalu datanglah perhambaan dengan nama yang baru iaitu komunis, sosialis, sekular dan sebagainya. Hakikatnya inilah perhambaan yang lebih teruk dalam kehidupan manusia.

Bertitik tolak dari hakikat itulah, perjuangan PAS yang berasaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah berusaha gigih memperkenalkan manhaj pentadbiran mengikut acuan Islam agar masyarakat dapat dibebaskan sepenuhnya dari belenggu perhambaan moden yang datang di dalam bentuk ideologi ini. Sekalipun kelihatan sukar dan payah untuk mencapai matlamat yang suci ini, namun kita optimis, sampai masanya Insya-Allah masyarakat Malaysia keseluruhannya akan menerima Islam sebagai syariat yang mentadbir bukannya ditadbir.

Sekali lagi, saya merakamkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia dan semoga ia disambut dengan penuh keinsafan sebagai seorang manusia yang benar-benar merdeka dari belenggu perhambaan fizikal mahupun ideologi, Insya-Allah.

Yang Berhormat Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji NIk Abdul Aziz bin Nik Mat
Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Leave a comment

Filed under General, PAS, Press Statement