Bagaimanakah masa depan anak Sabah?

TELATAH sekumpulan murid PASTI Kg Batu 2, Jalan Apas di Tawau menyambut rombongan Dewan Pemuda PAS dan Harakah menjelang waktu iftar, 18 Ramadan lalu (gambar atas).

Kanak-kanak pra-sekolah berpakaian warna hijau pucuk pisang itu antara 170 murid di salah satu daripada 20 premis PASTI di daerah Tawau.

Menjengah ruang luas di dalam PASTI tersebut yang asalnya merupakan rumah kayu, kelihatan senarai nama murid  terpampang mengikut kelas selain formasi abjad dan angka mengenai benda dan haiwan.

Kemas, teratur dan sistematik. Di satu sudut pula, tersusun borang pemeriksaan gigi yang dilakukan secara berkala oleh klinik gigi kerajaan sekaligus memberi mesej pendidikan Islam diusahakan PAS ini sudah diiktiraf.

Lain pula halnya dengan kanak-kanak sebaya mereka di Kampung Pangkalan Kunak apabila lebih 100 rumah didiami bersama keluarga musnah dijilat api menjelang waktu  sahur hari pertama Ramadan lalu.

Selepas lebih dua minggu ditempatkan di Dewan Sri Kunak berserta bantuan makanan, kanak-kanak yang termasuk dalam kira-kira 1,000 mangsa kebakaran di perkampungan atas air itu diarah pihak Majlis Daerah Kunak supaya berpindah keluar.

Demikian antara situasi sedang diahadapi generasi masa depan di Sabah khususnya di kawasan pantai timur yang sebahagiannya berdepan ancaman serangan hendap pengganas dan penculikan.

Memenuhi jemputan Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat dalam misi Rahmat Ramadan, Harakah, diketuai Ahmad Lutfi Othman hadir bukan sahaja merakamkan aktiviti parti bahkan keluh-kesah rakyat Negeri Di Bawah Bayu itu.

Tinjauan dari Tawau, Kunak dan Semporna mendapati kemiskinan dan penafian pemilikan tanah yang kemudiannya membawa pada pengusiran massa ketara membelenggu majoriti penduduknya.

Misalnya, keluarga Sarimah Ismail, 45, dari Kampung Sungai Atas di daerah Kunak sudah tiga tahun tinggal berlantaikan tanah dengan tikar getah sebagai pengalas.

Walaupun wakil rakyat pernah secara bersemuka berjanji untuk menyediakan rumah lebih selesa tetapi pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memberitahu mereka sekeluarga tidak layak dengan alasan ‘bijak’ suaminya yang uzur berasal dari Sandakan.

Akibatnya, empat anak Sarimah yang masih bersekolah dari Tahun Satu sehingga Tingkatan 2 hidup terdedah pada bahaya dengan berbumbungkan zink yang baru-baru ini bergegar dipukul angin ribut.

Menziarahi keluarga Harmawati Junaidi, 38, yang juga pernah berkhidmat sebagai guru PASTI selama 10 tahun, Harakah diberitahu tentang ancaman pengusiran dialami penduduk Kampung Batu 2, Jalan Saddani.

Pengorbanannya berundur dari PASTI demi memberi tumpuan menjaga ayahnya, Junaidi Naraji, 63, yang menghidap penyakit angin ahmar sejak lima tahun lalu amat besar ertinya.

“Sejak empat tahun lepas, tanah yg didiami lebih 30 tahun di sini mahu diambil. Risau juga bila fikir bagaimana nasib kami selepas ini,” keluhnya.

Ini bermakna ura-ura mengusir penduduk dari kampung dengan rumah berkonsepkan seni bina Bugis itu – besar dan bertiang tinggi – bermula sekitar dua tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-12!

Sambil kami menjamah juadah iftar di rumah beliau yang tidak jauh dari bandar Tawau itu, saya terbayang kemeriahan kanak-kanak di kampung itu yang ketika kami sampai sedang leka bermain guli dan berkejaran di halaman dan di kolong rumah.

Pastinya, suasana seperti itu akan pupus apabila kerajaan negeri Sabah hanya menyalin cara Kuala Lumpur memindahkan rakyat berpendapatan rendah ke unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR).

Malangnya, bumi Sabah yang masih luas dan makmur terlalu kejam untuk menyumbat anak peribuminya hidup sesak berhimpit di rumah pangsa seperti di ibu negara!

Pada masa sama, Yang Dipertua PAS Kawasan Kalabakan, Ahmad Dullah bimbang tentang krisis kekurangan guru mata pelajaran Pendidikan Islam di hampir semua sekolah di Sabah yang bakal menyumbang konflik pada rohani generasi pewaris negeri ini.

Ujarnya, selepas Perdana Menteri melantik Dato’ Mary Yap Kain Ching sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi dalam Kabinet, trend ustaz atau ustazah dari Semenanjung dibenarkan keluar dari Sabah semakin ketara mulai awal tahun ini.

“Hairannya, permintaan guru untuk balik ke Semenanjung diluluskan pada kadar segera padahal biasanya sebelum ini sebarang permohonan pertukaran ambil tempoh melebihi lima tahun.

“Akibat tidak cukup guru, pelajar terpaksa digabungkan dengan pengajaran kelas bagi Pendidikan Islam berlangsung di dewan makan sekolah,” jelasnya.

“Masih banyak isu di Tawau, membabitkan kepentingan rakyat, yang perlu didedah dan dicari jalan keluar. Insya-Allah, Harakah cuba berperanan sebaik mungkin menyelongkar dan membongkar isu-isu tersebut,” janji Ahmad Lutfi, menyedari masa agak suntuk untuk membuat tinjauan lebih menyeluruh.

Ketika Harakah menyertai rombongan Pesuruhjaya PAS Sabah,  Aminuddin Aling dan Lajnah Kebajikan PAS negeri ke Semporna, khabar tentang perintah berkurung hangat diperkatakan penduduk tempatan.

Khairil Zafran (kiri) yang bakal genap berusia setahun pada 26 Julai ini dilihat tenang dalam dakapan ibunya ketika ayah si cilik ini, Koperal Ab. Rajah Jamuan terkorban dalam serangan hendap lapan lelaki bersenjata di Pulau Mabul, 13 Julai lalu.

Masa depan lebih baik buat anak-anak Sabah dilihat hanya akan menjadi kenyataan jika belenggu kemiskinan dan ancaman keselamatan dapat ditangani tanpa bertangguh lagi. –HARAKAHDAILY 24/7/2014

Advertisements

Leave a comment

Filed under General, News, PAS

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s