Ramadhan, bulan membentuk generasi furqan

images

Perutusan Ramadhan 1434H oleh YB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Ramadhan: bulan membentuk generasi furqan

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud: 

“..Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan juga menjadi furqan (menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah)..” (Surah al-Baqarah : ayat 185).

Alhamdulillah, kita dipanjangkan nyawa oleh Allah SWT untuk terus bertemu dengan Ramadhan tahun 1434 Hijrah ini. Sesungguhnya nikmat kehidupan dan nyawa yang berpanjangan ini merupakan nikmat yang sangat besar yang diberikan oleh Allah SWT sebagai ujian kepada manusia. Hanya manusia yang beruntung sahaja yang akan menggunakan kesempatan yang diberikan ini untuk melakukan amal soleh agar ia menjadi bekal yang terbaik untuk di bawa ke hadapan Allah SWT.

Ramadhan ialah bulan yang penuh dengan kemuliaan. Ia bukan sekadar mengandungi ibadat puasa sahaja bahkan juga kelebihan-kelebihan yang tidak terdapat di dalam bulan-bulan yang lain. Justeru, seringkali saya mengulangi agar jangan disebut Ramadhan ini sebagai bulan puasa, kerana sebutan tersebut seolah-olah hanya mengiktiraf puasa sahaja sebagai intipati terpenting di dalam Ramadhan. Padahal di dalamnya terkandung juga kelebihan ibadat yang lain yang dilakukan oleh Rasulullah SAW seperti membaca al-Quran, tarawih, infaq dan sebagainya.

Antara yang utama di dalam bulan ini ialah peristiwa penurunan al-Quran. Ia dicatatkan oleh Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 185 dan dinyatakan bahawa tujuan penurunan kitab ini ialah untuk menjadi petunjuk kepada manusia, mengandungi keterangan dan juga sebagai furqan.

Furqan bermaksud pembeza di antara hak dan yang batil. Ia bermaksud al-Quran ialah satu garis lurus yang menjadi kayu ukur untuk mengira betul salahnya perbuatan manusia. Jika selari dengan kayu ukur ini, betullah ia dan begitu juga jika sebaliknya. Furqan tidak mungkin salah kerana jika kayu ukur itu sendiri belot dan bengkok, ia bukan lagi menjadi furqan.

Ramadhan sewajarnya membentuk generasi furqan iaitu generasi yang boleh membezakan di antara yang haq dan yang batil. Jika visi Ramadhan ini berjaya dilaksanakan, nescaya tidak akan ada di kalangan masyarakat umat Islam yang terpingga-pingga di tengah terang untuk mencari jalan yang benar.

Pada tahun ini, kita menyambut Ramadhan dalam suasana yang bercampur-campur. Di peringkat antarabangsa kita menyaksikan pergolakan di Mesir hasil daripada perancangan jahat Amerika dan sekutu-sekutunya. Pada saat saya menulis perutusan ini, sudah berpuluh-puluh rakyat Mesir yang terkorban di muncung senjata tentera di atas nama keamanan. Inilah dia demokrasi ala Barat yang hanya terlaksana jika kemenangan memihak kepada mereka. Adapun apabila mereka sendiri sudah lemas di dalam laut demokrasi, tangan mereka yang terkapai-kapai akan berusaha mencari pelampung penyelamat meskipun terpaksa menebuk perahu orang lain.

Sayangnya di Mesir yang bersemadi di buminya puluhan ambiya’, masih ada yang tidak tahu membezakan yang benar dan yang salah. Masih ada segelintir yang bersorak gembira apabila kerajaan pilihan rakyat digulingkan secara haram oleh waris diktator. Di sinilah keperluan wujudnya usaha membina generasi furqan. Kegagalan membina generasi furqan akan menatijahkan bermaharajalela kerajaan sekular. Namun, saya sangat optimis, kebangkitan rakyat di Mesir tidak sama sekali membiarkan era diktator berulang kembali di Lembah Nil ini.

Inilah juga yang berlaku di Syria, puluhan ribu yang terkorban di tangan tentera kerajaan zalim dan berterusan di bulan Ramadhan al-Mubarak ini menarik-narik tangan kita untuk terus menadah tangan ke langit memohon nusrah daripada Allah SWT. Sungguh, rintihan dan air mata yang jatuh kerana saudara seagama dianiaya pastinya akan dinilai oleh Allah SWT rabbul jalil.

Insya-allah, Ramadhan ini akan menyemarakkan usaha kita mendaulatkan al-Quran yang bersifat furqan di samping menghadam sifat ini di dalam sanubari masyarakat. Di mana-mana sahaja akan sentiasa berlaku pertembungan haq dan batil, dan di situlah akan timbulnya furqan untuk menjadi kayu ukur yang jelas dan nyata. Tidak hanya di Mesir dan Syria, bahkan juga di Malaysia atau lebih khusus di Kuala Besut nanti.

Bagi kita yang berada di dalam Parti Islam Semalaysia (PAS), kita teruskan dengan misi kita. Bergeraklah terus ke hadapan. Melangkahlah dengan penuh yakin di samping sentiasa mendamping diri dengan Allah SWT.

Di garisan yang terakhir, hanya perjuangan yang benar di sisi syariat dan ikhlas di benak hati sahaja yang mampu menggapai baton kemenangan!

Salam Ramadhan.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)

Advertisements

Leave a comment

Filed under General, Press Statement

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s