Bolehkah harga kereta turun 20-30 peratus?

Dr Rosli Yaakop

11 Jun 2013

drrosliHarga kereta di Malaysia adalah di antara yang tertinggi di kalangan negara-negara pesat membangun (emerging nations bloc), malah, ada yang mengatakan di dunia. Pastinya, rakyat negara-negara Arab, England, Amerika Syarikat, Jerman, Thailand, Indoneisa dan pelbagai negara lagi menikmati harga kereta yang lebih rendah.

Ia berpunca dari dasar perlindungan yang diamalkan di negara ini sejak awal tahun 1980an bagi melindungi projek kereta nasional, Proton yang ditubuhkan pada tahun 1983 dan memulakan operasi berskala komersial dalam tahun 1985. Apabila projek kereta nasional kedua – Perodua – ditubuhkan dalam tahun 1993, ia juga berikan perlindungan yang sama.  Dasar perlindungan itu mengambil bentuk kadar cukai yang tinggi ke atas kereta import menyebabkan harga kereta import menjadi berkali ganda lebih tinggi dari harga asalnya dan lebih mahal dari kereta jenama nasional, Proton dan Perodua.

Dasar “harga kereta import mahal, harga kereta nasional murah” mendorong rakyat Malaysia yang mampu memiliki kereta membeli kereta berjenama Proton, melariskan jualannya sehinggalah ia menguasai  60-70% pasaran kereta di Malaysia dalam tahun 1980an dan 1990an (paling tinggi 74% dalam tahun 1993) sebelum merosot ke paras di bawah 20-30% dalam tahun tahun- tahun akhir 2000an bila ia terpaksa bersaing terutamanya dengan Perodua dan kereta buatan Jepun terutamanya Toyota. Pada tahun 2012, bahagian pasaran Proton ialah 26% berbanding Perodua (30%) dan Toyota (17%).  Pembeli-pembeli kereta Proton ini majoritinya terdiri dari rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana dan ke bawah dan mereka yang membeli kereta untuk kali pertama. Pemasaran yang agresif dan tiupan semboyan patriotisme – “tidak patriotik  sesiapa yang tidak membeli kereta berjenama Proton” – juga melonjakkan jualan Proton.  Rakyat Malaysia yang berpendaptan tinggi membeli Proton sebagai “kereta tambahan” (kereta yang keempat atau kelima) untuk digunakan oleh isteri dan orang gaji ke pasar.

Walaupun sudah ada kelihatan langkah liberalisasi dalam industri otomobil Malaysia – misalnya, di bawah ASEAN AFTA dan bilateral AFTA (yang ditadantangani Malaysia dengan  sebuah negara lain), duti import bagi kereta telah dikurangkan beransur-ansur, malah ada yang sudah dihapuskan – namun, harga kereta import masih terlalu tinggi. Ini disebabkan terutamanya oleh cukai dalam negara yang tinggi. Kesannya, ia menghalang majoriti rakyat Malaysia daripada memiliki kereta import dari negara-negara pengeluar kereta utama dunia seperti Jepun, Korea, Jerman, Perancis, Amerika Syarikat dan sebagainya.  Oleh itu, pasaran kereta jenama import hanya terhad di kalangan rakyat Malaysia yang berpendapatan tinggi. Maka, wujudlah dua pasaran kereta di Malaysia – pasaran kereta nasional yang majoriti pembelinya adalah rakyat Malaysia berpendapatan sederahana dan ke bawah dan pasaran kereta import yang majoriti pembelinya adalah rakyat Malaysia berpendapatan tinggi.

Dasar melindungi kereta nasional ini masih diteruskan walaupun Proton sudah wujud selama 30 tahun. Tidak ada tanda-tanda jelas bahawa tembok perlindungi ini akan dirobohkan sepenuhnya. Nampaknnya, masa perlindungan selama 30 tahun yang diberikan kepada Proton telah tidak berapa berjaya melonjakkan kereta nasional itu ke jenama antarabangsa. Ia kekal dalam status “kereta pengganti import” tanpa mampu menembusi pasaran kereta antarabangsa dengan signifikan. Pada suatu ketika memang kelihatan pemasaran kereta Proton di peringkat antarabangsa itu agresif sehingga berjaya menembusi pasaran di lebih daripada 70 negara di dunia. Namun, sejak kebelakangan ini pengekalan dan penembusan seterusnya pasaran antarabangsa Proton banyak mengalami setback. Maka kekallah jenama Proton dengan nama “kereta jagoh dalam negara.” Kedudukan ini pun semakin tergugat sekarang.

Tekanan memang semakin tinggi menghendaki pihak berkuasa merobohkan tembok perlindungan ke atas kereta nasional ini tetapi pihak berkuasa setakat ini masih terus bertahan dengan memainkan persoalan: Jika pasaran kereta Malaysia diliberalisasikan apa akan jadi kepada nasib 300,000 pekerja Proton dan kalau cukai eksais diturunkan maka kutipan hasil cukai kereta yang kini menyumbang RM7 bilion se tahun kepada tok kerajaan akan terjejas. Pada pemikiran pihak berkuasa ruang pertandingan yang lebih luas boleh memudharatkan syarikat Proton malah boleh mengakibatkan Proton tutup kedai meyebabkan 300,000 pekerjanya menganggur. Kesan sosio-politik juga ada jika kemungkinan ini berlaku. Juga digunakan hujjah bahawa harga kereta yang murah menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk  di bandar, pekan, kampong dan lebuhraya.

Akibatnya kebimbangan ini, struktur cukai ke atas kereta impot masih tinggi dan pasaran kereta Malaysia kekal dikuasai olih kereta nasional, khususnya Proton dan Perodua, bukan atas dasar pertandingan di padang sama rata tetapi kerana ada kuasa monopoli terhasil dari tembok perlindungan yang kebal.  Oleh itu, selagi kereta nasional memerlukan tongkat untuk terus bernafas maka selama itulah harga kereta akan kekal tinggil di Malaysia.

Dasar melindungi kereta nasional menyebabkan pengeluarannya tidak efisyen-kos, bermakna kos setiap unit kereta jenama nasional yang dijual kepada pengguna relatif tinggi menyebabkan pemiliki kereta di Malaysia menanggung beban harga kereta yang tinggi. Beban harga kereta yang tinggi berpunca dari ketidakefisyenan pengeluaran ini di tambah oleh pengenaan cukai yang tinggi telah ditanggung oleh rakyat Malaysia selama hampir 30 tahun. Kecuali sesuatu yang drastik dilakukan bagi meliberalisasikan industri otomobil Malaysia dan melebarkan ruang pertandingan, sukar untuk diduga sampai bilakah rakyat Malaysia harus memikul beban ini?

Sebaliknya, Thailand memilih strategi menggalakkan pembuat kereta dari luar negara untuk membuka kilang kereta di negara itu. Pelbagai insentif menarik diberikan. Akhirnya, Thailand menjadi pengeluar dan pengeksport kenderaan yang terbesar di kalangan negara-negara ASEAN sehingga ia digelar “Detroit of the East“ meninggalkan Malaysia di belakang dalam perlumbaan membangunkan industri otomobil. Thailand menjadi pengeksport keenderaan sementra Malaysia terpaksa berpuashati dengan pasaran dalam negara sahaja. Ertinya, dasar pembangunan industri otomobil Thailang berjaya dan Malaysia tidak berapa berjaya, malah ada pihak yang menyatakan gagal. Apa pun, beban dari “under-performance” ini ditanggung oleh pengguna kereta Malaysia.

Dalam Manifesto PRU13, UMNO-BN berjanji kepada rakyat Malaysia akan menurunkan harga kereta sebanyak 20-30% dalam tempoh lima tahun. Manifesto Pakatan Rakyat, yang diumumkan lebih awal juga menjanjikan perkara yang sama. Jalan yang dipilih oleh PR ialah dengan menurunkan cukai eksais ke atas kereta.  UMNO-BN masih belum menunujukkan jalan menurunkan harga kereta kerana cukai eksais ke atas kereta menghasilkan RM7 bilon pungutan cukai dan menurunkan kadar cukai eksais bermakna “membunuh itik angsa yang mengeluarkan telur emas.”

Jadual 1: Struktur Cukai bagi Kenderaan Penumpang Persendirian (Termasuk Station Wagon, Kereta Sport dan Kereta Perlumbaan) dari ASEAN*

 

Kapasiti Enjni (cc) Duti import (%) Cukai Dalam Negera atas CBU dan CKD (%)
CBU CKD MSP Cukai Eksais Cukai Jualan
< 1,800 0 0 0 75 10
1,800 – 1,999 0 0 0 80 10
2,000 – 2,499 0 0 0 90 10
2,500 dan ke atas 0 0 0 105 10
* ASEAN dianggotai 10 negara. Enam negaraa yang awal ialah Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan /Thailand. Empat anggota yang masuk kemusdian terdiri dari Vietnam (1995), Laos (1997), Myanmar (1997) dan Kemboja (1999).

Jadual 2: Struktur Cukai bagi Kenderaan Penumpang Persendirian (Termasuk Station Wagon, Kereta Sport dan Kereta Perlumbaan) dari Negara Terpilih (Most Favored Nations)

 

Kapasiti Enjni (cc) Duti import (%) Cukai Dalam Negera atas CBU dan CKD (%)
CBU CKD MSP Cukai Eksais Cukai Jualan
< 1,800 30 10 10 75 10
1,800 – 1,999 30 10 10 80 10
2,000 – 2,499 30 10 10 90 10
2,500 dan ke atas 30 10 10 105 10

Kereta yang dimport dari negara-negara ASEAN ke Malaysia kini tidak lagi mengundang duti import. Namun, masih ada dua jenis cukai dalam negara yang dikenakan ke atas kereta import dari anggota-anggota ASEAN, iaitu, cukai eksais dan cukai jualan. Cukai eksais kadarnya menaik semakin tinggi kapasiti injin kereta, bermula dari 75% bagi injin berkapasiti di bawah 1800cc hinggalah ke 105% bagi injin berkapasiti 2500cc dank e atas.

Tetapi kenderaan yang diimport dari negara-negara bukan anggota ASEAN mengundang tiga jenis cukai  – duti import, cukai eksais dan cukai jualan. Kadar cukai-cukai yang berkenaan ditunjukkan dalam Jadual 1 dan Jadual 2.

Bagaimanakah cukai ke atas kenderaan import di kira? Cukai dikira atas nilai import yang termasuk harga kereta, kos pengangkutan dan kos insurans. Kaedah pengiraan menyebabkan adanya kesan “cukai atas cukai” bermaknan kadar cukai efektif menjadi lebih tinggi. Kalau kadar duti import ialah 30%, cukai eksais 75% dan cukai jualan 10%, maka kadar cukainya bukan 115% (30% + 75% + 10%) tetapi lebih tinggi, iaitu, 150%. Contoh pengiraan cukai ke atas kereta di tunjukkan dalam Jadual 3.

Dari contoh ini jelas bahawa, pertama, cukai yang dipungut oleh kerajaan jauh melebihi nilai import kereta berkenaan (RM168,280 berbanding RM112,000, iaitu, 150.2% lebih tinggi). Kedua, akibat daripada kadar cukai yang tinggi dan kesan “cukai atas cukai,” maka harga kereta yang dibayar oleh rakyat Malaysia menjadi hampir tiga kali ganda dari harga asal kereta itu (RM280,280 berbanding RM112,000) dan ini belum lagi “on the road price” yang menambahkan harga kereta. Ketiga, pembeli kenderaan juga membayar cukai perkhidmatan, iaitu, atas perkhidmatan perkapalan dan insurans  pada kadar cukai efektif 150.2%.

Jadual 3: Pengiraan Cukai ke atas Kereta yang diimport dari Most Favored Nation (Misalnya Jepun

Kereta Penumpang Persendirian <1800cc RM Cukai (RM)
Kos Kereta 100,000
Kos Perkapalan 10,000
Kos Insurans 2,000
Nilai import 112,000
Duti Import % 30%
Duti import RM 33,600 33,600
Nilai Import + Duti Import 145,600
Cukai Eksais % 75%
Cukai Eksais RM 109,200 109,200
Nilai import + Cukai eksais 254,800
Cukai Jualan % 10%
Cukai Jualan RM 25,480 25,480
Harga Kereta Selepas Kenaan Semua Cukai 280,280
Jumlah cukai RM 168,280
Kadar Cukai Efektif 150.2%

Walaupun harga kereta ditentukan oleh kuasa penawaran dan permintaan, kos pengeluaran dan mark-up keuntungan, yang ketara di Malaysia ialah kadar cukai yang tinggi dan cara pengiraan cukai yang membawa kepada kesan “cukai atas cukai” adalah komponen utama harga kenderaan di Malaysia. Kecuali sesuatu dilakukan ke atas struktur cukai berkenaan, khasnya dalam keadaan kos pengeluaran yang terus meningkat, sukar untuk harga kereta diturunkan sebanyak 20-30% sebagaimana yang dijanji. Tetapi, rakyat Malaysia pasti akan tetap menagih janji ditepati.  Lebih baik lagi bila penurunan cukai dipakej dengan langkah-langkah seperti menangani isu AP, pembaikan sistem pengangkutan awam, pembaikan dalam kawalan dan penyuraian trafik dan sebagainya.  Cukai ke atas import kereta mewah boleh dikekalkan tinggi tetapi jenis kereta yang rakyat terbanyak mahu beli dan guna biarlah harganya cukup rendah.

Rembau NS

Selasa, 11 Jun 2013

Advertisements

Leave a comment

Filed under General

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s