20 tahun pentadbiran Tok Guru Nik Aziz: Kelantan penuhi harapan rakyat

Oleh WAN NIK YUSUF NGAH
Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan

HARI Rabu, 21 Oktober 2009 adalah ulang tahun ke-19 pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan di bawah kepimpinan ulamak. Ia juga adalah ulang tahun ke-19 bagi pelaksanaan slogan ‘Membangun Bersama Islam‘ yang dijadikan panduan perancangan pembangunan negeri. Ia satu slogan yang mendahulukan nilai-nilai ad-din di dalam memenuhi harapan rakyat.

Ini juga bermakna, selama 19 tahun prinsip pentadbiran berteraskan ubudiah, masuliah dan itqan telah dijadikan amalan oleh seluruh agensi kerajaan negeri Kelantan.

Maka, selayaknya telah berlaku kesan nyata daripada perancangan dan pelaksanaan ke atas tiga aspek perjalanan kerajaan negeri – falsafah kepimpinan, slogan dan prinsip pentadbiran – sekaligus menobatkan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai menteri besar yang ulung menerajui eksekutif kerajaan negeri.

Falsafah kepimpinan ulamak

Sejak PAS bangkit tahun 1983, menerima falsafah kepimpinan ulamak di dalam parti, maka berlaku kebangkitan meluas kalangan pimpinan untuk menghayati dan menterjemahkan falsafah kepimpinan Islam di semua peringkat organisasi PAS.

Falsafah utama kepimpinan ulamak adalah penghayatan dan pengamalan ciri kepimpinan Islam yang menjadikan al-Quran, al-Hadis, ijmak dan qias sebagai rujukan di dalam menyatukan keputusan dan tindakan.

Berpandukan falsafah ini, PAS yang menguasai kerajaan negeri Kelantan sejak pilihan raya umum ke-8, pada 21 Oktober 1990 telah menjulang seorang ulamak lulusan sarjana syariah dari Universiti al-Azhar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang ketika itu merupakan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sebagai menteri besar bagi mengetuai saf majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Mengimbau pembentukan saf kepimpinan ulamak yang mentadbir negeri Kelantan pada awalnya, ia merupakan gandingan antara Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan tokoh-tokoh daripada pelbagai bidang kepakaran yang telah melengkapkan aturan tugasan rasmi pentadbiran sebuah kerajaan.

Disebabkan permulaaan pembentukan kerajaan negeri Kelantan selepas mengambil alih kuasa daripada Barisan Nasional adalah atas nama kerjasama PAS dengan Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan), maka saf ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri ketika itu sedia mengandingkan tokoh daripada tiga parti utama Angkatan: PAS, Berjasa dan Semangat 46.

Daripada PAS adalah kalangan lulusan agama seperti Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman, Ustaz Yahya Othman dan Ustaz Idris Ahmad serta lulusan undang-undang Allahyarham Dato’ Abdul Halim Muhamad; daripada Berjasa Dato’ Wan Hashim Ahmad seorang lulusan undang-undang; dan daripada Semangat 46 Dato’ Rozali Isohak seorang bekas pegawai tadbir negeri, Dato’ Daud Jaafar seorang ahli perniagaan dan Zainon Abdin Ali seorang bekas pegawai bank.

Gandingan awal kepimpinan kerajaan negeri Kelantan tersebut dianggap suatu kejayaan bagi PAS seluruhnya, iaitu setelah tujuh tahun berlakunya misi kepimpinan ulamak.

Bermula dengan Ustaz Yusof Rawa (tahun 1983) mengetuai PAS atas nama kepimpinan ulamak, selepas itu ia disambung oleh Dato’ Fadzil Mohd Noor (tahun 1989) dan semasa Dato’ Fadzil, PAS bersama Angkatan telah berjaya menguasai negeri Kelantan.

Di sebalik kejayaan tersebut, sebenarnya PAS telah berjaya merealisasikan satu model kepimpinan ulamak moden yang telah teruji sejak 1990. Sehingga kini, model kepimpinan ulamak itu sudah berusia 19 tahun dan telah bergerak menuju dekad kedua mencecah usia 20 tahun memajukan slogan pentadbiran negeri, “Membangun Bersama Islam”.

Slogan Membangun Bersama Islam

Sejarah kemunculan slogan Membangun Bersama Islam adalah berasal dari tema Program PAS Kelantan menghadapi pilihan raya umum ke-8, tahun 1990. Program PAS itu sebenarnya adalah manifesto pilihan raya bagi PAS Kelantan yang membutirkan pelbagai tawaran kepada rakyat negeri Kelantan sekiranya PAS berjaya menguasai pentadbiran negeri.

Tema tersebut adalah suatu keputusan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Persuruhjaya PAS Negeri Kelantan merangkap Ketua Ulamak Pusat berikutan cadangan daripada Jawatankuasa Manifesto Pilihan Raya yang dipengerusikan oleh Ustaz Abdul Halim (Timbalan Persuruhjaya) yang dianggotai sama antaranya adalah Allahyarham Mohd Amin (Timbalan Pesuruhjaya), Wan Abdul Rahim (Setiausaha Perhubungan), Allahyarham Hassan Abdullah (ahli Perhubungan), Allahyarham Dato’ Abdul Halim (bekas Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Kelantan) dan Setiausahanya, Wan Nik Wan Yussof (Setiausaha Pilihan Raya PAS Negeri).

Berlaku mesyuarat memutuskan tema Membangun Bersama Islam itu ialah ketika mesyuarat kedua jawatankuasa manifesto yang diadakan di rumah Hassan Abdullah di Taman Mimi, Jalan Pengkalan Chepa Kota Bharu.

Ketika memutuskan manifesto PAS Kelantan itu, sebenarnya telah berlaku kerjasama politik antara PAS dengan Semangat 46, Berjasa dan Hamim melalui Angkatan. Namun dari segi persediaan manifesto pilihan raya, masing-masing parti mengemukakan manifesto sendirian.

Setelah PAS dan Angkatan berjaya membentuk kerajaan di Kelantan dengan mengalahkan Barisan Nasional dengan ‘pukulan maut’ 39:0, maka tema manifesto PAS itu dipersetujui sebagai slogan pentadbiran.

Maka, kandungan program PAS itu telah diterima pakai oleh majlis mesyuarat kerajaan negeri sebagai agenda perancangan dan pembangunan negeri Kelantan.

Seterusnya, slogan Membangun Bersama Islam telah diterjemahkan dengan baik oleh pelbagai pihak, terutamanya pengkaji sains politik dan pentadbir organisasi kerajaan negeri, mahupun swasta.

Namun, bagi kerajaan negeri falsafah sebenar Membangun Bersama Islam adalah memajukan matlamat pentadbiran yang dipacu dengan keyakinan terhadap Islam sebagai ad-din (cara hidup beragama) dan ad-daulah (beragama dalam pentadbiran negeri). Ia tetap berpaksikan kepada misi menegakkan agama dan menguruskan negeri berpandukan agama (iqamatiddin wa siasatudduniabih).

Sehubungan itu, agenda perancangan dan pembangunan negeri adalah berkonsepkan pembangunan insan dengan mengutamakan pemerkasaan iman, takwa dan amal Islami. Di samping menguruskan sumber yang ada (tanah, air dan flora-fauna serta hasil mahsul) ke arah memenuhi keperluan semua lapisan rakyat.

Prinsip pentadbiran

Berikutnya berlaku usaha merealisasikan slogan Membangun Bersama Islam sebagai agenda besar kepimpinan ulamak yang diterajui Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. Intipati usaha itu hendaklah merangkumi aspek duniawi dan ukhrawi serta keinsanan, demi memenuhi tuntutan Ilahi, sekaligus menyempurnakan tugas manusia selaku khalifah di bumi.

Misalnya, dari segi pentadbiran, prinsip yang dipakai adalah ubudiah, mas’uliah dan itqan (UMI), iaitu menjalankan pentadbiran kerajaan sebagai satu ibadah bagi mencapai keredhaan Tuhan (ubudiah), melaksanakan setiap tugas pentadbiran secara beramanah atas sifat akauntabiliti kepada diri, rakyat, kerajaan dan Tuhan Yang Esa, dan setiap tugas yang dilaksanakan adalah dipacu dengan keazaman ke arah pencapaian hasil yang terbaik, demi kesempurnaan tugas dan ganjaran pahala yang setimpal (itqan).

Maka, prinsip pentadbiran tersebut dianggap telah mendahului (sejak 19 tahun dulu) slogan Perdana Menteri sekarang, Dato’ Seri Mohd Najib – rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Natijahnya, kandungan penuh kepada prinsip UMI tersebut adalah telah merangkumi misi yang jelas bahawa semua urusan pentadbiran negeri Kelantan, hakikatnya mesti mendahlui keperluan rakyat dan mengutamakan pencapaian hasil yang terbaik demi mencapai tingkat pengiktirafan diri di sisi Tuhan Yang Esa.

Kesan positif kepada amalan prinsip pentadbiran tersebut adalah semua pihak (pemimpin dan pegawai) yang terlibat di paras eksekutif akan terkawal dengan rasa keimanan terhadap Tuhan Yang Esa.

Oleh itu, mereka akan sedia melakukan tugas secara istiqamah, bersungguh-sungguh, mengutamakan hasil yang terbaik, dan paling penting mengelak diri daripada penyelewengan, curi tulang dan menerima sogokan atau rasuah.

Justeru itu, kecekapan akan terserlah, maka segala urusan rakyat pasti terlaksana dengan jayanya.
Kemuncak kepada amalan prinsip pentadbiran sedemikian ialah berlakunya hikmah dari Tuhan – tiada musibah pentadbiran, tiada kakitangan merengkuk di dalam penjara bahana rasuah, tiada mogok pekerja, tiada tindakan disiplin kerana engkar tugas – jadilah Kelantan bumi yang didiberkati dengan rakyat sedia mendapat keampunan Tuhan Yang Maha Pengampun.

Berkongsi cabaran dengan Acheh

Usia 19 tahun sebenarnya bakal menjejaki dua dekad kepimpinan ulamak. Usianya akan memasuki hayat 20 tahun yang telah membumi tasbihnya di tanah air Kelantan, negeri Serambi Mekah.

Mungkin retorikanya telah merekodkan sejarah gemilang mengatasi Acheh Darussalam yang telah dicabar oleh Tuhan dengan peristiwa tsunami. Di Acheh era pasca tsunami berlaku usaha membumikan semula kekuatan cara hidup beragama (ad-din).

Segala-galanya berlaku selepas berabad-abad bumi Acheh terkandung bermacam-macam cabaran yang menguji rakyatnya setia dengan ajaran Islam. Lantaran, Islam adalah ajaran suci yang pernah mengemilangkan Acheh selaku Serambi Mekah. Di sana pernah mencapai taraf pusat pengimarahan ajaran Islam di dalam setiap cabang kehidupan. Rentak cabaran sama turut dilalui oleh bumi Kelantan.

Laluan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sejak menjawat Ketua Ulamak PAS Pusat dan kini selaku Mursyidul Am PAS amatlah terukir indah di setiap wajah rakyat Kelantan. Ilmunya adalah cahaya, perwatakannya adalah idola dan sentuhan pentadbirannya adalah keberkatan untuk seluruh rakyat.

Justeru itu, ilmu agama yang ada di dadanya sentiasa dicurahkan kepada rakyat Kelantan menerusi kuliah pagi Jumaat, khutbah Jumaat dan ceramah yang segar serta tulisan yang tercetak.

Atas kapasiti keilmuan yang dicurahkan dan ratusan ribu rakyat menelaah ilmunya, layaklah rakyat menobatkan menteri besar yang mengemudi kepimpinan ulamak itu adalah seorang ulamak sebenar bergelar “Tuan Guru”. Kerana di sebalik itu, cukup ramai individu ulamak yang kaya ilmu agamanya, tetapi loket di dalam mencurahkan ilmunya untuk diraih oleh rakyat.

Justeru itu, tidak mungkin ditemui dalam dekad ini menteri besar seumpama menteri besar Kelantan. Sesungguhnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah 19 tahun bergelar “Yang Amat Berhormat Tuan Guru Menteri Besar” yang sentiasa mengorbankan ilmunya untuk rakyat.

Inilah wajah kepimpinan ulamak yang dipaparkan kepada generasi rakyat Kelantan hari ini. Mudah-mudahan “ilmu tuan guru” bakal membina generasi muda masa kini untuk mencipta kejayaan masa depannya.

Berkat taburan ilmu itu, kini Kelantan bukanlah negeri yang terpinggir dengan isu-isu pembangunan. Daripada ilmu yang ditaburkan, Kelantan sudah menjadi negeri yang seiringan dengan negeri lain dari segi pembangunan fizikal dan rohani.

Meskipun, masih ada tohmahan dan cakap-cakap sinis kononnya Kelantan adalah negeri termundur dan ketinggalan dari segi pembangunan sosio-ekonomi, namun kualiti hidup rakyatnya sudah menjawab dengan tepat bahawa kesemua tohmahan itu adalah cakap politik yang berniat memburuk-buruk keupayaan kepimpinan ulamak sejak Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilantik menteri besar.

Justeru itu, kepimpinan ulamak era Tuan Guru Nik Abdul Aziz sudah menobatkan (establishment) 20 nilai pembangunan negeri Kelantan seperti mana berikut:

  1. Sifat cakna rakyat penuh berkebajikan
  2. Bangunan pejabat dan gudang bertambah dan tersergam
  3. Prasarana kesejahteraan awam tersirat kukuh
  4. Ladang getah dan kelapa sawit luas menghijau
  5. Sawah bendang menguning setiap musim
  6. Hutan dan lurah sedia ditereskan
  7. Kadar kemiskinan menjunam turun
  8. Kuasa beli rakyat mampu menyara survival pasaraya
  9. Pertambahan kenderaan bersimpang siur
  10.  Taman perumahan melebar ke serata negeri
  11. Bandar lama dan baru makin berkembang
  12. Kehadiran pelancong terus melonjak
  13. Pesta, ekspo dan karnival terlaksana setiap tahun
  14. Gaji kakitangan awam tidak pernah dikurang
  15. Pendidikan Islam terbaik dan pelajar cemerlang terserlah setiap tahun
  16. Kolej, universiti dan sekolah bestari makin bertambah bilangan
  17. Kilang dan produknya terus beroperasi melonjak peluang ekonomi
  18. Perancangan pembangunan sentiasa berlaku
  19. Punca hasil baru terus diterokai
  20. Baki hutang kerajaan dahulu sudah terlunas

Kesemua nilai pembangunan dinyatakan di atas adalah ukuran mutlak bagi mengiktiraf betapa pembangunan dan pertumbuhan ekonomi dan sosial sudah berlaku dan tidak terpinggir. Oleh kerana itu, negeri Kelantan sepanjang 19 tahun di bawah kuasa politik PAS telah melakukan yang terbaik untuk rakyat Kelantan.

Di atas 20 establishment itu, amatlah tidak adil untuk meletakkan status pembangunan negeri Kelantan sebagai negeri mundur. Maka, sempena ulang tahun ke-19 kepimpinan ulamak mengurus-tadbir kerajaan negeri Kelantan ini, diharapkan bersama-samalah kita dapat membuka mata dan telinga untuk menerima realiti, betapa negeri Kelantan hari ini adalah sebuah negeri yang sudah jauh maju setanding dengan negeri-negeri lain di negara ini.

Advertisements

Leave a comment

Filed under PAS

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s